Sunday, May 10, 2009

SELESEMA BABI DAN GEJALA SOSIAL : ANTARA KEUNTUNGAN DAN RAWATAN

Penulis kadang-kadang terfikir akan masalah remaja dan selesema babi yang mempunyai kaitan yang besar kini. Pertama sekali, kedua-duanya merupakan isu yang menarik diperkatakan dan memang hangat di pasaran minda para guru, ibu bapa malah pihak kerajaan. Dua minggu lepas, pintu masuk negara dikuarantin untuk pelawat-pelawat yang datang dari Mexico dan beberapa negara serta yang terbaru warga Australia dan Argentina positif dijangkiti penyakit selesema babi. Penyakit ini dikhabarkan telah membaham lebih 100 mangsa. Kini kira-kira 29 buah negara telah diisytiharkan mempunyai mangsa selesema babi.

Namun minda penulis tidak lekang mengingati akan masalah sosial yang semakin meruncing. Sehinggakan barang siapa menegur dahulunya kereta guru dicalar tetapi kini bukan sahaja guru ditendang malah ‘sudah lebih’, guru disimbah asid (rujuk berita harian: 5 Mac 2009). Terbaru! Mingguan Malaysia (10 Mei 2009), Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Datuk Puad Zarkashi telah mencadangkan agar hukuman rotan dikuatkuasakan kembali kepada guru-guru dengan mengikut beberapa terma yang dipersetujui Peguam Negara.

Apa yang menarik mengenai kedua-dua isu semasa ini sebenarnya memaksa kita berfikir dengan lebih berhemah dan terbuka. Bagi penulis, kedua-dua penyakit ini sebenarnya gagal diubati kerana kedua-duanya mempunyai ‘sindrom semakin tinggi semakin untung’.Tentu sekali semua orang akan pening akan sindrom yang penulis maksudkan! Mudah sahaja matematiknya, menjelang 2009, ekonomi dunia semakin merosot dan tiada tanda bila tamatnya keadaan ini. Penjual dan pengeluar ubat juga tidak terlepas akan masalah ini, maka satu sahaja cara untuk mengatasi kegawatan pengeluar ubat ubatan ini iaitu dengan mewujudkan penyakit. Jadi dengan kewujudan penyakit ini, maka permintaan terhadap ubat ubatan akan sentiasa meningkat (ini merupakan teori penulis sahaja, namun tidak mustahil dengan keadaan dunia kapitalis ini yang menjadikan keuntungan sebagai kuasa utama). Semakin tinggi jumlah penyakit maka semakin tinggi permintaan ubat-ubatan.


Namun penulis juga suka untuk mengaitkan dengan masalah sosial generasi muda ini yang mungkin sama tapi tidak serupa. Penulis tidak mahu mengaitkan gejala ini dengan kelemahan kerajaan kerana dengan fikrah dan haluan yang begitu berbeza mungkin mereka rabun untuk menyelesaikan masalah ini denga penuh ketelusan. Bagi penulis, rotan bukanlah jawapannya malah mengundang permasalahan ini menjadi lebih kronik. Namun wacana ini bukanlah untuk mencadangkan penyelesaian permasalahan ini. Permasalahan sosial remaja ini hanya boleh dilakukan melalui proses kesedaran yang memberikan kesan yang besar tanpa mempunyai agenda peribadi. Pelbagai proses kesedaran dilakukan oleh pelbagai pihak terutama oleh pihak kerajaan namun usaha mereka tidak memenuhi selera dan keperluan generasi muda ini.


Generasi muda terutamanya muslim memerlukan pendekatan islamik yang menyentuh hati mereka tetapi bukan menyentuh dan menyakitkan tangan dan punggung mereka. Menyedari akan medium penyelamat akan masalah ini, seluruh umat islam berusaha menyediakan pengisian dan program yang dapat mengatasi permasalahanya. Maka tumbuhlah bagai cendawan syarikat-syarikat kesedaran iaitu syarikat training dan konsultan motivasi. Bagi penulis semua pihak waima kita sendiri mungkin melihat permasalahan ini sebagai sumber keuntungan atau mungkin pendapatan. Mungkin mereka lebih suka jika kerajaan sekarang memerintah kerana akan lahirlah ramai berpenyakit sosial kerana mereka ini membawa keuntungan. Inilah yang gagal dihadam dan dicerna dengan baik oleh umat islam yang ‘sedar’ kini. Penulis suka membuat teori ekonomi terhadap masalah sosial ini iaitu semakin lama kerajaan berfikrah BN memerintah maka semakin tinggi masalah remaja menyebabkan semakin untunglah mereka yang mempunyai syarikat training dan konsultan.


Penulis masih mencari dan tercari-cari sebuah NGO malah satu team yang bergerak menjalankan program kesedaran ini tanpa mengira berapa keuntungan yang diperolehi. Mereka bergerak dengan matlamat yang satu iaitu menyelamatkan remaja islam kini. Kini banyak perlaksana program kesedaran yang terlalu mementingkan keuntungan dan nama sehinggakan berlumba-lumba untuk menonjolkan team mana yang lebih hebat. Mereka berlumba-lumba untuk menonjolkan siapa yang lebih dikenali masyarakat dan siapa yang mengungguli pemulihan remaja. Apa salahnya jika modul yang dibuat dan dilaksanakan disebar dan dilatih pengeraknya supaya proses menyebarkan kesedaran ini akan diteruskan di serata ceruk dengan tujuan mengatasi penyakit sosial ini? Ini lain pula jadinya, sebelum program siap-siap ditulis, PROGRAM INI TIDAK BOLEH DIRAKAM ATAU DIVIDEOKAN! Bagi penulis, hanya mereka yang ikhlas dan prihatin sahaja mampu melaksanakannya.


Apa yang menjadi permasalahan kini, dengan kewujudan program kesedaran yang diwajibkan kita ‘membayarnya’ maka program ini hanya eksklusif kepada mereka yang sanggup membayarnya iaitu sudah pasti golongan yang mampu dan berpendapatan tinggi. Namun bagi mereka yang tidak mampu tetapi memerlukan program seperti ini, mereka akan terus menceburkan diri dengan perkara-perkara yang tidak baik tanpa diberikan kesedaran kerana tidak mampu. Selain kini, banyak sekolah kebangsaan (SK) yang mempunyai masalah kewangan jadi sukar untuk membuat program terutama di SK rentetan misunderstanding KPM dan ibu bapa.


Bagi penulis, kita perlu sedar dan segera bertindak akan keadaan ini. Kita sebagai umat islam yang sedar tidak perlu menyalahkan kerajaan. Kita tidak tahu bila kerajaan yang mampu mengatasi masalah ini akan menerajui negara dan kita tidak perlu menunggu kerana penyakit sosial ini semakin menjadi parah. Kita perlu bergerak dengan gagah bersama semangat yang satu iaitu melahirkan insan yang menyinari kewujudan negara islam ideal nanti.

1 comments:

Anonymous said...

saya tidak setuju...jika tidak ada duit macamana nak bergerak...

May 10, 2009 at 10:27 PM

Post a Comment