Tuesday, November 10, 2009

SEKOLAH 1 ALIRAN: Menguji 1 kejujuran sebuah kerajaan.

Kehebatan Slogan 1 Malaysia terus dituntut perlaksanaannya. Dari 1 negara bangsa menyentuh 1 bahasa terus memanjat minda untuk memikirkan kewujudan sekolah 1 aliran. Idea sekolah 1 aliran ini sebenarnya bukan perkara baru. Malah pernah dilontar kewujudannya oleh Tun. Dr. Mahathir awal tahun 2009. Namun kepanasannya hanya sekejap setelah ditentang oleh pelbagai pihak dan kaum. Penulis suka untuk membuat komentar mengenai isu ini:



  1. Penulis masih tertanya-tanya, adakah kerajaan ingin mewujudakan sekolah 1 aliran ini hanya untuk politik atau ingin mewujudkan rakyat yang mempunyai 1 sifat nasional yang memberikan paling tidak titik persamaan dalam permasalahan kaum kini. Bagi penulis kerajaan perlu ikhlas dan komited dalam mewujudkan sekolah jenis ini.

  2. Sebelum kerajaan memikirkan mengenai sekolah 1 aliran, kerajaan perlu memikirkan mengenai dasar pendidikan terhadap bumiputera yang kebanyakan sekolahnya memihak kepada bumiputera seperti sekolah berasrama penuh, MRSM sekolah kawalan dan beberapa jenis sekolah yang masih menganak emaskan pelajar bumiputera. Adakah kerajaan sanggup untuk mengorbankan sekolah-sekolah jenis ini untuk mewujudkan pelajar yang mempunyai jatidiri nasional yang kukuh dengan mengadunkan pelbagai kaum dalam 1 sekolah? Bagi penulis sebelum mewujudkan sekolah 1 aliran, kerajaan perlu merevolusikan system pendidikan kerajaan terlebih dahulu sebelum kewujudan sekolah 1 aliran ini ditempelak dan dipertikaikan oleh pelbagai kaum di Malaysia.

  3. Adakah hanya melalui pendidikan sahaja boleh mengatasi masalah perkauman untuk memberntuk 1 Malaysia? Penulis agak keberatan untuk menerima dan menyalahkan pendidikan sebagai alat menyatupadukan kaum. Lihat sahaja di IPT atau IPTA di Malaysia, walaupun ada pelbagai kaum dan pelbagai latar belakang, apabila di dewan kuliah atau di kolej kediaman, mereka masih mencari kaum dan bangsa yang sama dengan mereka iaitu Melayu dengan Melayunya, Cina dengan Cinanya dan India dengan Indianya. Walaupun pelbagai kaum diintegrasikan dalam satu bilik namun mereka masih melekat dengan kaum masing-masing. Tidak pernah penulis melihat pelajar yang diintegrasikan dalam 1 bilik pergi makan bersama, bersenam bersama, pergi kuliah bersama kecuali diretorikakan di televisyen.

  4. Penulis mengharapkan sebuah kerajaan yang jujur dalam misinya untuk mencapai perpaduan kaum. Bagi penulis, pihak kerajaan tidak perlu mencanang dan menghebah atau menghebohkan mengenai perpaduan dan seumpamanya jika mereka masih lagi menunjukkan ciri-ciri perpecahan dan ketidaksatuan. Pihak kerajaan pemerintah iaitu Barisan Nasional terdiri daripada 3 parti kaum utama iaitu UMNO (melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Mereka masih menzahir kewujudan perbezaan kaum dalam politik. Seharusnya pihak pemerintah Barisan Nasional perlu dahulu diintegrasikan atau disatukan terlebih dahulu dalam satu bilik. Sehingalah mereka boleh makan bersama, tidur sebantal, mandi bersama dan baharulah mengajak rakyatnya mencontohi mereka. Mungkin lucu, Kerajaan Malaysia seperti mengajar anaknya berjalan betul. Pemerintah negara perlu melahirkan kepelbagaian kaum ini dengan saling melengkapi bukan saling melindungi hak masing-masing. Inilah bahana pihak kerajaan yang menganggap diri ‘ Hanya Barisan Nasional sahaja boleh memerintah Malaysia ini’.

  5. Ketidakyakinan dan kebimbangan terhadap keberkesanan sistem pendidikan negara menyebabkan kewujudan sekolah agama islam yang masih memisahkan kaum. Sekolah-sekolah ini merupakan sekolah swasta. Sekolah jenis ini sememangnya 100% kaum melayu. Mana mungkin kum cina dan India akan memasuki sekolah jenis ini. Penulis bimbang, jika nanti apabila pihak yang tidak berpuas hati dengan kewujudan sekolah 1 aliran ini akan mengambil kesempatan dengan menubuhkan sekolah berdasarkan agama masing masing dengan Tamil dengan Hindunya dan Buddha dengan Cinanya.

  6. Melalui satu kajian, mengenai pelajar Cina yang begitu cemerlang kerana belajar di sekolah Cina. Sistem pendidikan, pentadbiran dan ketekunan guru sekolah Cina membuatkan bukan sahaja kaum Cina yang bersekolah di sekolah Cina malah kaum melayu. Dengan kewujudan sekolah 1 aliran ini, sudah pasti menghalang kewujudan system pendidikan di sekolah Cina yang cemerlang sejak sekian lama.

    Akhirnya, penulis sedar akan masalah perpaduan rakyat Malaysia. Penulis tidak mengatakan penulis bersetuju atau tidak akan kewujudannya. Bagi penulis, samaada kewujudan sekolah 1 aliran atau tidak dalam konteks perpaduan ini, negara memerlukan kerajaan yang jujur dan ikhlas dalam misinya samaada untuk kepentingan bangsa mereka sendiri atau negara.

    mymindakini dot com

0 comments:

Post a Comment