Tuesday, June 09, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: ANTARA KEIKHLASAN PAS DAN TALIAN HAYAT UMNO.

Muktamar PAS terbaru secara rasmi menjadikan kewujudan perbincangan kerajaan Perpaduan antara PAS dan BN mungkin menjadi kenyataan. Presiden PAS yang menang tanpa bertanding begitu tegas menekankan mengenai kerajaan perpaduan. Namun bagi penulis, kerajaan perpaduan ini bukanlah kerajaan campuran dan bukan kerajaan gabungan tetapi kerajaan perpaduan adalah pembentukan kerajaan di peringkat kabinet atau badan eksekutif terdiri daripada pelbagai parti. Bermakna dalam kabinet yang dimenangi oleh parti politik yang mempunyai majority di parlimen akan memegang jawatan Perdana Menteri tetapi jawatan menteri bagi beberapa kementerian tertentu diberikan kepada parti-parti politik tertentu. Berdasarkan persefahaman dan persetujuan pihak yang berbincang. Namun perlu diingat bahawa kewujudan kerajaan perpaduan ini tidak membabitkan langsung pemerintahan dalam Hal Ehwal Dewn Undangan Negeri. Pembentukan kerajaan perpaduan hanya melibatkan pembentukan kerajaan pusat.

Bagi penulis, cadangan kerajaan perpaduan oleh Hj. Hadi ini adalah idea genius bagi menghadapi cabaran baru dalam dunia baru politik Malaysia. Kewujudan kerajaan Perpaduan bukanlah membawa kepada pengabungan BN-PAS tetapi ia hanya melibatkan kewujudan pelbagai warna dan fikrah dalam kebinet kerajaan. Kerajaan seperti ini, bagi penulis baharulah sesuai dikenali sebagai Kabinet Rakyat. Bagi penulis, seharusnya kerajaan seperti ini sudah lama termaktub dalam perlembagaan negara sebagai syarat pembentukan kerajaan bagi membentuk kerajaan yang berwibawa dan berintegriti tinggi.

Penulis merasakan bahawa Hj. Hadi mengamalkan politik ikhlas yang sebenarnya memberikan keyakinan bahawa PAS sebenarnya tidak mengamalkan politik balas dendam tetapi politik islam yang mementingkan rakyat. Mana tidaknya, bila mana keadaan UMNO dan BN dalam keadaan genting dan kehilangan keyakinan rakyat! Dan bila mana sokongan kepada pakatan pembangkang dalam keadaan yang begitu menakjubkan. Hj. Hadi muncul bukan sebagai penyelamat tetapi memberitahu solusi kepada pemerintah yang dalam kelemasan tentang barah yang semakin membesar kini. Bagi penulis, kerajaan perpaduan merupakan alat tetapi mesej utama yang perlu dinilai oleh rakyat adalah nilai keikhlasan seorang pejuang parti islam. Penulis masih ingat lagi, Hj. Hadi mengatakan dalam sebuah buku tulisanya iaitu kita ini sebagai pengajak tetapi bukan penghukum.

Jika Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan, bagi penulis, Hj. Hadi mempunyai padangan jauh kerana melalui kewujudan kerajaan perpaduan ini sahajalah saluran untuk mengatasi masalah umat Malaysia kini. Seharusnya dua kementerian yang ‘wajib’ diambilalih oleh Pas iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua kementerian ini sebenarnya adalah penentu lanskap kondisi dan tanggapan negara sebenarnya. Bagi penulis, kementerian kewangan perlu diuruskan dengan baik dan mengikut saluran yang lebih berintegriti supaya kedudukan indek rasuah negara dan pengagihan pendapatan negara dapat disalurkan dengan lebih berhemah dan baik. Namun pengambilalihan kementerian Pelajaran Malaysia sudah tentu bagi mencapai solusi masalah keruncingan generasi sekarang. Melalui kementerian Pelajaran, bukanlah jumlah pengkaderan ahli Pas bertambah tetapi Pas menunjukkan islam dapat menyelesaikan permasalahan kekalutan halatuju pendidikan negara kini. Bagi penulis, jika PRU-13 ini PR berjaya menumbangkan BN tidak mudah untuk mendapatkan dua kementerian ini. Inilah peluang Pas!.

Penulis juga merasakan bahawa melalui kerajaan perpaduan. Negara dapat mengetahui dan diperkenalkan model pengurusan negara yang sesuai dan fleksibel bagi mewujudkan negara yang telus, wibawa dan berintegriti. Model yang kelihatan mudah tetapi memerlukan pemegang majoriti dalam parlimen yang ikhlas dan mementingkan rakyat. Jika model yang ditimbulkan oleh Pas ini ditolak, sebenarnya memberikan impak besar kepada BN kerana model pemerintahan yang unik ini tidak mendapat sambutan oleh BN.

Bagi penulis, kerajaan perpaduan sebenarnya talian hayat bagi UMNO dan BN. Penulis terkejut dengan kenyataan anak beranak ini iaitu DS Hisham yang menyokong kewujudan kerajaan perpaduan selain sepupunya DS Najib yang juga mengatakan bahawa BN mengamalkan keterbukaan selain Khairy Jamal yang begitu rakus sehingga tidak sabar-sabar untuk membuat muzakarah UMNO-Pas. UMNO kelihatan cukup terdesak, dalam keadaan ini, tentu buat apa sahaja bagi menguntungkan kantung politik mereka. Jikalau idea baik ini ditegaskan oleh Hj. Hadi selepas PRU-11 (2004-2007), sudah tentu UMNO dan BN terus mengatakan bahawa Pas sudah tidak yakin dengan perjuangan dan mungkin mengatakan Pas parti tak malu. Namun bagi penulis, kewujudan Kerajaan Perpaduan perlu dibincangkan dengan teliti kerana nanti Pas akan diibaratkan sebagai menolong anjing tersepit!.

Secara peribadi, penulis amat bersetuju dan menyokong kewujudan kerajaan perpaduan namun bagi penulis, Kerajaan Perpaduan merupakan risiko bagi Pas. Pas perlu membuat pilihan iaitu dalam keadaan kepelbagaian matlamat dan ideology dalam PR yang masih kabur ke mana arah corak pemerintahan PR jika berjaya dalam PRU-13 nanti dan kewujudan Kerajaan perpaduan yang banyak memberikan kepentingan namun untuk berhadapan dan ber’muzakarah’ dengan UMNO sudah tentu memerlukan penelitian yang mendalam. Penulis bimbang Pas akan berhadapan masalah ibarat keluar dari mulut buaya dan masuk ke dalam mulut naga. Apabila keadaan tersebut berlaku, sudah tentu Pas tidak lagi dipercayai oleh PR lagi.
mymindakini dot com

0 comments:

Post a Comment