PKM PEJUANG KEMERDEKAAN BUKAN UMNO?
Penulis cuba menyingkap dan mengatur kronologi sejarah Malaysia yang penulis pelajari semasa di sekolah menengah iaitu di tingkatan 1 hingga 5. Rata-rata silibus semasa menengah rendah adalah tassawur sejarah tanah melayu hinggalah dijajah oleh Inggeris dan mencapai kemerdekaan. Namun penulis meragui tentang kesahihan sejarah Malaysia yang ditulis oleh sarjana-sarjana sejarah di Malaysia. Bermula semasa penulis di kampus dahulu, penulis pernah belajar dengan Prof. Jomo K.S. Nama Jomo K.S begitu terkenal dikalangan golongan pemikir dan yang menariknya, pada sekitar 1999-2003 Jomo K.S telah dijemput oleh barisan pembangkang untuk membentangkan belanjawan pembangkang di Parlimen. Namun itu bukanlah kebanggaan penulis malah yang dibanggakan oleh penulis adalah ilmu yang ada pada pakar ekonomi ini. Semasa kuliahnya, rata-rata menceritakan sesuatu yang baharu termasuk salasilah sultan perak, kemerdekaan negara dan yang menarik beliau mengatakan bahawa komunis yang kita benci hari ini adalah pejuang kemerdekaan yang sebenar. Penulis bukanlah ingin membuat kontroversi atau menyebarkan berita palsu tetapi sebagai orang islam kita seharusnya mencari kebenaran supaya yang gelap dapat kita terangkan. Penulis juga bukanlah membela mana-mana pihak atau berfahaman seperti yang penulis tuliskan tetapi sebagai tatapan umum.
Bermula daripada situlah penulis mencari bukti yang jelas dan konkrit mengenai kenyataan Prof, Jomo tersebut. Ini disebabkan rata-rata apa yang penulis belajar semasa di sekolah dahulu menceritakan keburukan komunis atau lebih jelas Parti Komunis Malaya (PKM). Namun setelah menonton Di Luar Lingkungan (DLL) beberapa hari yang lalu, fakta dan kenyataan Prof. Jomo seperti ada kebenarannya. Di dalam DLL, Prof, Emeritus Prof Datuk Dr Ramlah Adam ada menyatakan bahawa sebenarnya semasa beliau dan panel penulisan buku teks sekolah menengah, pihak kerajaan mengarahkan beliau dan panel lain menyembunyikan beberapa fakta penting tentang sejarah Malaysia untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara. Fakta-fakta sebenar dan disembunyikan hanya diajar di Universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Terdapat individu yang mengatakan sarjana-sarjana sejarah sebenarnya mencabuli fakta sejarah negara untuk kepentingan pihak kerajaan. Namun bagi penulis, penulis agak menyokong apa yang dinyatakan oleh Prof. Emeritus bahawa di peringkat sekolah menengah, tahap pemahaman mereka perlu pada tahap tertentu. Secara logic, jika di dalam kandungan buku teks di tulis UMNO yang memerintah negara kini adalah dibenci rakyat dan mendokong cita-cita penjajah!. Pembaca fikirkanlah apa akan terjadi! Namun semua orang mempunyai pendapat masing-masing.
Selain itu, salah seorang ahli panel DLL iaitu Fahmi Reza yang merupakan penerbit dokumentari dan blogger mengupas mengenai polimik ini satu-persatu. Dokumentari 10 tahun sebelum merdeka menceritakan segalanya. Yang menariknya! Prof, Emeritus Prof Datuk Dr Ramlah Adam mengakui kebenaran akan semua fakta yang terkandung dalam dokumentari tersebut. Semasa penulis menonton dokumentari tersebut di dalam youtube, penulis begitu terkejut bahawa apa yang terjadi 10 tahun sebelum merdeka sudah berjaya memberikan kesinambungan dan kronologi menarik mengenai sejarah Malaysia. Fahmi Reza bukan menceritakan fakta tetapi menampilkan semua saksi yang melalui zaman kesatuan Melayu Muda (KMM), DMA, MPAJA dan Putera dan beberapa lagi kesatuan rakyat pada ketika itu.
Dalam dokumentari tersebut yang diceritakan oleh pemimpin-pemimpin kesatuan rakyat seperti Kesatuan Melayu Muda dan lain-lain. Secara ringkasnya, setelah penubuhan persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani perjanjiannya penubuhannya oleh Raja-raja melayu dan UMNO maka rakyat melalui MPAJA dan PUTERA melancarkan penentangan terhadap penubuhannya. MPAJA ( Malayan People’s Anti Japanese Army) yang dianggotai oleh golongan petani, orang miskin dan buruh di kalangan pelbagai kaum. Pada masa itu, Inggeris mengupah wartawan-wartawan untuk melancarkan propaganda untuk memburukkan MPAJA. Orang-orang Umno berpihak dan sentiasa dilindungi oleh penjajah. Segala apa yang dikatakan oleh UMNO datang daripada penjajah. MPAJA yang sebenarnya dibiayai oleh Inggeris untuk menentang Jepun telah menyaingi UMNO yang juga anak didik Inggeris. Pembaca boleh menyingkap sejarah MPAJA sehinga berjaya menguasai beberapa daerah dan Bandar-bandar penting di semenanjung Tanah Melayu. Jumlah mereka yang ramai dianggotai oleh buruh, petani dan orang miskin membuatkan keanggotaan mereka meningkat. Namun selepas Jepun menyerah kalah maka Inggeris merasakan berlaku persaingan antara MPAJA dan UMNO dari segi pengaruh. MPAJA dilihat begitu berpengaruh berbanding UMNO kerana mereka dianggotai dan disertai oleh orang miskin, petani dan buruh dari pelbagai kaum. Maka Inggeris mengupah wartawan mereka untuk mengadakan propanganda memburukkan MPAJA. Siapakah MPAJA? MPAJA ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) untuk berjuang mendapatkan kemerdekaan. Namun penulis hanya berjaya mengabungjalinkan beberapa fakta yang dianggap logik berdasarkan dokumentari Fahmi Reza.
Pembaca boleh mendapatkan maklumat Dokumentari 10 Tahun sebelum Merdeka.
link blog Fahmi Reza: http://10tahun.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment