Wednesday, October 22, 2008

DASAR EKONOMI BARU: PERJUANGAN YANG TIDAK AKAN SELESAI.


DEB: SUATU PENGENALAN (Bahagian 1 )
Setelah Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, perkara pertama yang diumumkan adalah mengumumkan ‘tiada lagi DEB’ di Pulau Pinang. Apabila pengumuman tersebut dibuat, maka pelbagai tohmahan dan anggapan yang ‘kononnya’ menyesal setelah pakatan pembangkang DAP-PKR menguasai Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Penulis begitu terpanggil untuk menulis berkaitan DEB. Kebanyakan rakyat Malaysia (bukan rakyat Pulau Pinang) mengatakan kekesalan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang. Ada juga veteran UMNO yang mengatakan pengundi Melayu yang mengundi DAP dalam PRU 08 tidak patriotic, tapi apakah yang dimaksudkan patriotic? Apakah beza patriotic dengan nasionalisme? Penulis mengharapkan pembaca sekalian mengetahuinya kerana apa yang penulis ingin coretkan dalam coretan ini bukanlah persoalan patriotic atau nasionalisme.

Seluruh rakyat Malaysia mengetahuinya! Setelah bekas banduan yang dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang ini, seluruh rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka sebagai bumiputera merasakan dengan tiada lagi DEB, maka mereka akan terus ketinggalan. Namun sebagai insan yang ingin dibangunkan oleh Pak Lah ini perlu berlapang dada dan meningkatkan ilmu mengenai sesuatu isu semasa. Keadaan ini supaya kita menguasai isu bukan dikuasai isu. Penulis hanya ingin berkongsi ilmu berkenaan kajian sebelum ini mengenai DEB. Segala pendapat mengenai coretan ini hanyalah pendapat peribadi penulis, bukanlah pendapat orang lain kerana setiap manusia berhak untuk menyatakan pendapat masing-masing.

Sebelum penulis membawa dengan lebih jauh tentang DEB atau Dasar Ekonomi Baru, molek jika kita lihat bersama-sama apakah yang dimaksudkan dengan DEB ini. Setelah berlaku peristiwa 13 Mei 1969, maka Tun Abdul Razak (PM ketika itu) telah merangka satu dasar yang dapat mengimbangi keseimbangan ekonomi yang tidak mewujudkan pengenalan kaum mengikut ekonomi. Sebelum wujudnya DEB setiap kaum dapat dikenali mengikut aspek ekonomi iaitu kaum cina (tinggal di Bandar) terlibat dalam bidang perniagaan, kaum Melayu (tinggal di luar Bandar) terlibat dalam pertanian dan kaum India (tinggal di estet atau kebun getah) terlibat dalam pertanian getah. Keadaan ini kerana kesan dari penjajahan barat yang menyusun kaum-kaum ini mengikut kecenderungan ekonomi.

DEB: Satu rangka ekonomi berbau perkauman
Jadi sebelum wujudnya DEB ini, setiap kaum mempunyai tahap pencapaian ekonomi dan mempunyai tahap pemilikan ekonomi yang berbeza. Dari bancian penduduk pada tahun 1970, didapati 49.3% dari semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis miskin. Dari jumlah semua keluarga miskin, 86% berada di kawasan luar bandar dan 14% lagi berada di kawasan bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pada tahun 1970 adalah menunjukkan kaum Melayu adalah berada di atas sekali dengan 64.8% diikuti dengan kaum India sebanyak 39.2% dan kadar kemiskinan kaum Cina adalah paling rendah iaitu 26%. Kadar kemiskinan yang tinggi ini telah dipercayai menjadi penyebab kepada peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan kaum dan seterusnya menyebabkan satu dasar bersepadu diwujudkan bagi memastikan kadar kemiskinan dapat dikurangkan terutama di kalangan orang-orang Melayu.

Dari banci penduduk tahun 1970 didapati 49.3% dari semua
keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan
di bawah garis miskin. Dari jumlah semua keluarga miskin
86% berada di kawasan luar bandar dan 14% di kawasan
bandar. Kadar kemiskinan mengikut kaum pula adalah
seperti berikut:


kaum kadar kemiskinan (%) pendapatan purata
keluarga sebulan (RM)
Melayu 64.8 172.00
Cina 26.0 394.00
India 39.2 304.00
Lain-lain 44.8 813.00
Dari kajian Tahunan Hakmilik Syarikat-syarikat
Berhad yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan dan
rekod dari Pendaftar Syarikat adalah didapati hakmilik
dan penguasaan sektor syarikat-syarikat pada tahun 1971
adalah seperti berikut:
Pemilikan Jumlah Pemilikan
( RM juta ) %
.Bumiputera perseorangan dan agensi amanah.
279.6 4.3
Bukan Bumiputera 2,233.2 34.0

Warganegaraasing 4,051.3 61.7
Jumlah 6,564.1 100.0
Dilihat dari sudut pembahagian pekerjaan pada tahun 1970 pecahan mengikut kaum adalah seperti berikut:



Sektor Melayu Cina India Lain-lain
1.Pertanian 67.6 19.9 11.5 1.0
2.Perlombongan 32.1 58.7 8.5 0.7
3.Perniagaan/ Perdagangan,
Pentadbiran Awam,Pelajaran, Pertahanan dan Kemudahan Awam. 42.6 45.5 10.7 1.2

Daripada bancian tersebut, maka Tun Abdul Razak merasakan perlu diberi lebih hak ekonomi kepada orang melayu yang dianggap bumiputera. Bumiputera perlu diberi lebih hak kerana mereka adalah penduduk asal Tanah Melayu. Namun keadaan ini disangkal oleh Lim Kit Siang (DAP) yang mengatakan bahawa Malaysia adalah hak orang Malaysia. Lim mengatakan usaha kemerdekaan Tanah Melayu adalah usaha ketiga-tiga kaum iaitu kaum Melayu, Cina dan India, jadi keistimewaan yang diperolehi dari pasca kemerdekaan perlu diberi hak samarata ( Jomo K.S 1989). Namun DEB tetap dijalankan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ianya telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata bagi:
• mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum;
• mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Peranan dan penyertaan kerajaan dalam kegiatan pembangunan ekonomi negara melalui DEB amat jelas dimana DEB dijalankan bagi mencapai matlamat mengimbangi perbezaan kedudukan ekonomi antara kaum DEB dan secara jelas menetapkan kadar kuantitatif minimum 30 peratus sebagai matlamat pemilikan ekuiti di sektor korporat dan dalam penyusunan semula gunatenaga supaya mencerminkan komposisi penduduk. Berbagai usaha yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah sosial ekonomi dan pelan pembangunan telah dirangka supaya dapat mengatasi beberapa masalah. Antaranya ialah:
• Mewujudkan peluang pekerjaan
• Menambah daya pengeluaran dan pendapatan.
• Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan di antara kaum dan di antara kawasan bandar dan luar bandar.
• Memodenkan kehidupan di luar bandar
• Mewujudkan kumpulan perusahaan dan perdagangan bumiputra.
• Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat.
• Meningkatkan kemudahan infrastruktur

Penulis hanya akan menerangkan secara ringkas mengenai DEB untuk coretan untuk sesi pengenalan. DEB merupakan suatu rangka ekonomi yang baik namun kita perlu melihat dan membuat kesimpulan berdasarkan ilmu. Seluruh Malaysia heboh memperkatakan tentang DEB namun kita tidak mengetahuinya. Bagi bahagian pertama penulis hanya akan menjelaskan pengenalan dan fakta mengenai DEB dan kewujudannya. Setiap orang mempunyai kesimpulan masing-masing mengenai DEB namun kita perlu mengetahuinya secara keseluruhan barulah kita boleh membuat andaian.

DEB mencabul hak kaum-kaum bukan bumiputera
Penulis boleh mengupas setiap satu matlamat DEB yang sarat dengan ‘double standard’ terhadap sesuatu kaum namun kesimpulannya khidmat DEB menjadi sebab untuk mencabul hak kaum lain yang sama-sama berjuang mencapai kemerdekaan. Walaupun pemimpin negara yang mengagungkan DEB iaitu sebagai pemangkin pembangunan semua kaum namun hakikatnya DEB lah pencabul hak-hak kaum bukan bumiputera yang sama-sama menjadi warganegara sah di Malaysia. Namun disebabkan mereka bukan berasal dari Tanah Melayu, hak mereka dinafikan.
Sebenarnya DEB ini sebenarnya mempunyai matlamat supaya orang melayu dapat menyaingi kekuatan ekonomi dan sosial kaum cina yang rata-rata memonopoli ekonomi dan kekayaan negara. Pemimpin kerajaan cuba menjadikan DEB sebagai alat pemacu atau meningkatkan momentum ekonomi kaum melayu supaya setanding dengan kaum cina. Penulis bukannya menentang DEB secara total, DEB adalah suatu perancangan yang amat baik sebenarnya. Jika dilihat secara logik, tingginya peratus kemiskinan kaum melayu berbanding kaum-kaum lain, seharusnya pelbagai usaha perlu dibuat supaya tahap kemiskinan kaum melayu dapat ditingkatkan. Namun bagi penulis, sebagai seorang muslim, penulis menolak sama sekali kerajaan mengamalkan double standard dengan mengutamakan kaum melayu dalam semua urusan ekonomi dan sosial yang sebenarnya mengundang pelbagai kesan buruk.
Penulis cuba membawa secara ringkas, bagaimana sebenarnya DEB ini mewujudkan ketidakadilan dalam pembahagian sumber kekayaan negara. Jika dilihat sendiri setelah DEB dilancarkan oleh bapa kepada Timbalan Perdana Menteri sekarang, banyak agensi yang ditubuhkan antaranya FELDA, MARA dan FAMA. Penubuhan agensi-agensi kerajaan ini sebenarnya mengancam kedudukan ekonomi kaum lain terutama kaum cina dan menimbulkan pra-sangka yang buruk. Penubuhan FELDA adalah sinonim dengan pembukaan tanah rancangan baru untuk pertanian kelapa sawit dan getah. Lebih 98% peserta tanah rancangan FELDA ini adalah kaum melayu dan lebih kurang 2% adalah kaum India. Tetapi di manakah penyertaan kaum cina?. Penubuhan MARA atau Majlis Amanah Rakyat sebenarnya memberi khidmat kepada orang melayu sahaja. Lihat kemasukan ke MRSM hanya dikhaskan untuk kaum melayu sahaja, tetapi hanya beberapa tahun ini sahajalah ia dibuka kepada kaum lain. Selain itu, pembahagian projek-projek kerajaan kepada rakyat juga tidak adil dan telus. Tender-tender kerajaan tidak dihebahkan kepada umum tetapi terus disalurkan kepada kroni-kroni melayu atau yang mempunyai keutamaan. Apa yang berlaku, banyak projek-projek kerajaan yang dijalankan oleh kontraktor melayu menghasilkan hasil kerja yang tidak berkualiti, lihatlah sahaja projek makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
Keadaan ini tidak menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan , dek disebabkan mengutamakan kaum melayu sahaja ketidakadilan berlaku. Semasa fasa perlaksanaan DEB terdapat dasar penswastaan iaitu pada awal dekad 1980an. Dasar ini diperkenalkan pihak kerajaan dengan tujuan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor perdagangan. Bagimanapun dasar ini hanya memperkayakan segelintir kelas atasan Melayu yang mempunyai hubungan politik yang rapat dengan pemimpin politik (Jomo, 1994). Kesannya banyak kepentingan awam terdedah kepada kepentingan kekuasaan kapitalis swasta.
Setelah 50 tahun merdeka, realitinya kaum bumiputera hanya memiliki 18% ekuiti di dalam ekonomi Malaysia. Pada asalnya, kerajaan berhasrat menjelang tahun 1990 pemilikan saham / ekonomi Malaysia akan melambangkan komposisi kepentingan kaum di negara ini, di mana penyertaan Bumiputera sebanyak 30%, 40% bukan Bumiputera dan 30% terdiri daripada pelabur-pelabur luar negeri. Tetapi sehingga tahun 2007, kaum bumiputera hanya memiliki sebanyak 18% ekuiti di dalam ekonomi Malaysia.
Pada pandangan penulis, DEB perlu dipertahankan oleh kerajaan demi menjamin kaum bumiputera mendapat pembelaan yang sepatutnya. DEB adalah satu dasar yang masih releven dan harus dipertahankan, cuma cara pelaksanaannya perlu diperbaiki agar bersesuaian dengan cabaran semasa. Melalui pegangan ekonomi yang kukuh, kaum bumiputera dapat bersaing dengan kaum lain. DEB perlu mensasarkan golongan peringkat bawahan seperti golongan petani dan nelayan agar turut merasai limpahan ekonomi negara. Bagi golongan atasan kaum bumiputera, mereka perlu bersaing secara adil bersama kaum bukan bumiputera bagi mendapat syer di dalam pasaran.

0 comments:

Post a Comment