MAHATHIR KELUAR UMNO
Dalam masa dua minggu dua kejutan berlaku dalam arena politik negara. Parti yang dominan menguasai parti pemerintah iaitu UMNO boleh diibaratkan sebagai sebuah pintu yang boleh keluar dan masuk sesuka hati. Minggu lalu bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan bahawa beliau keluar parti UMNO yang diterajuinya selama lebih 20 tahun. Alasan tindakan beliau adalah kerana kedegilan Datuk Seri Pak Lah untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Beliau mengatakan hanya akan kembali ke dalam UMNO setelah UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi diterajui oleh Datuk Seri Pak Lah. Namun realitinya, Datuk Seri Pak Lah masih lagi dengan ‘prinsip’nya untuk mempertahankan Barisan Nasional yang dikatakan masih parti yang ‘kukuh’ dengan memperolehi 140 daripada 222 kerusi parlimen iaitu kurang 8 kerusi untuk mencapai 2/3 majoriti kerusi di Parlimen. Kita tidak perlu terkejut sebenarnya dengan tindakan bekas Perdana Menteri ini kerana Tun Dr. Mahathir telah mengikut jejak bekas-bekas rakan sejawatnya seperti Tunku Abdul Rahman yang keluar daripada UMNO dan muncul semasa penubuhan Parti Semangat 46 selain Tun Hussein Onn yang keluar UMNO setelah melepaskan jawatannya sebelum bapanya sendiri Datuk Onn Jaafar iaitu pengasas UMNO yang keluar UMNO kerana gagal mendapat sokongan membuka kemasukan UMNO kepada bangsa lain. Namun itulah lumrah sebagai pejuang yang berjuang tanpa dasar yang jelas.
Pelbagai andaian terhadap tindakan Tun. Dr. Mahathir keluar UMNO, namun itulah politik yang sarat dengan muslihat dan persoalan. Ramai yang beranggapan bahawa Tun Dr. Mahathir akan memasuki PAS. Bagi penulis, kita perlu melihat isu ini dengan melihat dan menoleh kepada sejarah Tun. Dr. Mahathir ini. Tun pernah dipecat daripada UMNO oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman disebabkan oleh penulisannya dalam buku Malay Dilemma. Tindakan Tun selepas itu adalah memasuki Parti Sosialis sebagai tumpangannya dan menjadi platformnya mengkritik pemerintahan Tunku. Tapi kenapakah Tun tidak menjadikan PAS sebagai tumpangannya? Kini Tun kembali tidak berplatform untuk mengkritik pemerintah. Kita perlu melihat bahawa terdapat 4 parti pembangkang yang dominan yang sebenarnya gagal menarik hati Tun untuk menjadikan tumpangan. Kita semua mengetahuinya bahawa Tun tidak mempunyai fikrah yang selari dengan PAS. Lihat sahaja semasa pemerintahannya, PAS dijadikan tempat untuk melepaskan geramnya. Tun agak sekular dan boleh dikatakan 100 peratus beliau menolak negara islam yang dikatakan acuan PAS dan secara keseluruhannya menolak PAS. Walaupun begitu Tun mempunyai ‘prinsip’nya sendiri. Masakan kita berirama UMNO boleh berpidato dengan melodi PAS? Bagi penulis Tun tidak akan menyertai PAS. Jika bukan PAS mungkin PKR, namun siapa PKR? Siapakah yang berada dalam PKR? Dato’ Seri Anwar merupakan musuh dan seteru utama Tun. Mereka sebenarnya masih berseteru. Tun merupakan seorang yang terlalu menjaga maruah diri, masakan Tun mahu bergabung tenaga dengan orang yang beliau bogelkan? Bagi penulis Tun tidak akan menyertai PKR. Mungkin DAP? Mungkin kita semua boleh fikirkan bersama. Namun adakah Tun akan menyertai parti sosialis yang menjadi tumpangannya setelah dipecat oleh UMNO? Parti sosialis kini telah menjadi sebahagian daripada PKR.
Bagi penulis Tun tidak akan menyertai mana-mana parti politik, tindakan beliau mungkin sebagai ’punisher’ terhadap kedegilan Datuk Seri Pak Lah meletakan jawatannya. Tun menjadi lebih bebas untuk mengkritik pemerintah tanpa platform kerana tindakan mengkritik sebelum ini dianggap sebagai membuka pekung di dadanya sendiri. Tun telah memerintah Malaysia kira-kira 22 tahun sememangnya mempunyai ramai pengikut. Tindakan Tun keluar UMNO dengan seruan mengajak semua orang yang bersamanya mengikut tindakannya. Tun berfikiran jauh masakan di Universiti Al-Azhar sendiri mempunyai subjek yang membuat kajian tentang pemikiran Tun Dr. Mahathir. Malaysia terkenal bukan disebabkan oleh negaranya tetapi disebabkan oleh Tun Mahathir. Bagi penulis bayang-bayang Tun masih membawa beribu-ribu ahli UMNO bersama-samanya.
myminda08
0 comments:
Post a Comment