EZAM MOHD. NOOR MASUK UMNO
Penulis begitu terpesona dengan mainan politik parti yang mendominasi pemerintahan negara ini. Lagi terang lagi bersuluh, apa yang dikatakan oleh seorang pakar fizik iaitu Albert Einstein yang mengatakan politik lebih sukar daripada Matematik kerana dalam matematik 1+ 1 memang jelas jawapannya 1 namun dalam politik 1+1 tidak semstinya 1 kerana ia menimbulkan pelbagai andaian dan jawapan yang kadang kadang memerangkap lawannya namun jawapannya tetap logik dan dapat diterima oleh akal.
Kemasukan bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat iaitu Mohd. Ezam Mohd. Noor menjadi bualan hangat dan mendapat perhatian pellbagai pihak. Mana tidaknya, kemasukan Ezam ke dalam UMNO disambut dengan senyuman lebar sehingga ke telinga oleh Datuk Seri Pak Lah. Semasa UMNO berada dalam kapal yang akan karam pada bila-bila masa, Ezam begitu berani membuat keputusan menyertai UMNO. Bagi pemimpin UMNO, ia bagaikan penyelamat. Namun apa yang peliknya, sebelum pilihanraya Datuk Seri Pak Lah mengumumkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak akan menerima sesiapa sahaja yang pernah mengkritik UMNO dan mereka dianggap sebagai pengkhianat bangsa tapi adakah UMNO sudah menjadi parti yang cakap tidak serupa bikin? Itulah politik UMNO, bila terdesak sanggup lakukan apa sahaja. Namun Ezam sebenarnya bukan keluar daripada UMNO 10 tahun lalu tetapi beliau dipecat oleh UMNO yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir kerana tindakan beliau mengkritik UMNO pada masa itu.
Pelbagai andaian akan tindakan Ezam ini pada masa nasib UMNO ibarat telur dihujung tanduk. Ezam bukanlah seorang yang hebat dan mempunyai pengaruh yang besar di dalam negara seperti bekas bossnya iaitu Anwar. Kini Ezam baru 41 tahun dan penampilan pertama beliau adalah pada usia 31 tahun dahulu. Beliau juga merupakan pengasas Parti Keadilan Nasional sehingga dilantik menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan. Semasa menjadi Ketua Angkatan Muda terdapat beberapa kontroversi dengan Timbalan Ketua Muda iaitu Shamsul Iskandar Mat Akin iaitu Ketua Muda Keadilan sekarang. Namun isu tersebut tidak melunturkan sokongan rakyat terhadap PKR.
Bagi penulis kemasukan Ezam ke dalam UMNO tidak membawa sebarang kesan terhadap sokongan rakyat terhadap pembangkang. Ezam hanya membawa imej bekas pemimpin muda PKR tetapi beliau tidak membawa sokongan kerana imej bekas bossnya ibarat langit dengan bumi berbanding beliau. Namun Dato Seri Pak Lah begitu berbangga nampaknya dengan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Ezam sebenarnya sudah lama berpisah dengan perjuangan pembangkang. Apa yang menariknya, Ezam mengatakan kemasukan beliau ke dalam UMNO adalah disebabkan oleh dasar-dasar kerajaan kini yang agak bersifat pro-reform dengan membuat pelbagai tindakan baikpulih seperti berusaha memperbaiki proses baikpulih sistem penghakiman antaranya menyemak kembali keputusan memecat Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara. Selain berusaha menjadikan SPR sebagai badan yang lebih bebas dengan memisahkan dengan Jabatan Perdana Menteri.
Namun yang anehnya, kemasukan Ezam ke dalam UMNO telah bertiup kencang lagi sebelum PRU-12 tetapi perubahan pro-reform yang dicanang oleh Ezam hanya dilaksanakan oleh Datuk Seri Pak Lah setelah PRU-12 rentetan mimpi ngeri BN dalam PRU-12. Jadi apa sebenarnya tujuan tindakan Ezam memasuki UMNO semula? Penulis juga teringat dengan kata-kata Ezam setelah wartawan bertanya kepada beliau tentang kemungkinan beliau akan dipergunakan oleh BN untuk mendapatkan sokongan. Beliau dengan tegas mengatakan beliau sanggup dipergunakan oleh pemerintah jika untuk kepentingan rakyat. Bagi penulis Ezam tidak akan dipergunakan oleh BN malah watak Ezam akan dipergunakan oleh pihak pembangkang untuk memperolehi undi dan sokongan. Mana tidaknya! Ezam mungkin dikenali dengan GERAK (Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi) iaitu badan bebas yang menentang isu rasuah dan beliau juga terkenal dengan peti rahsia yang menyimpan rahsia kerajaan kononnya. Mungkin peti tersebut akan dibuka bersama-sama dengan Datuk Seri Pak Lah di tingkat 4 JPM. UMNO merupakan parti yang sarat dengan unsur rasuah namun ke mana prinsipnya GERAK ini. Menentang atau menggalak rasuah. Ibarat polis yang bertugas menangkap pencuri tetapi polis yang memasuki kumpulan pencuri.
Terdapat juga pihak yang mengatakan bahawa Ezam ini merupakan orang KJ dan Norza yang merupakan perancangan licik Khairy untuk memudahkannya mendapatkan lebih kuasa dalam UMNO untuk berhadapan dengan anak Tun Mahathir iaitu Mukhriz bagi jawatan Ketua Pemuda. Namun itulah politik, sarat dengan muslihat dan perancangan strategik. Kemasukan Ezam ke dalam UMNO tentu menimbulkan pelbagai andaian terutamanya ahli-ahli UMNO yang pastinya mereka yang sedang berusaha ’melabur’ dalam pelbagai cara untuk memperolehi jawatan tertinggi parti. Ezam masih lagi akan dilihat sebagai proksi Anwar walaupun beliau menafikannya namun ahli UMNO akan berhati-hati dengan kedatangan Ezam yang mungkin dianggap gunting dalam lipatan. Isu Ezam masuk UMNO tidak sepopular isu Tun Dr. Mahathir keluar UMNO.
P/s: Ada pihak yang mengatakan tindakan Pak Lah melihat kembali pemecatan Tun Salleh abas ada kena mengena dengan kroni kerana menantu Tun Salleh Abas merupakan Pengarah Eksekutif Scomi iaitu kompeni anakDatuk Seri Pak Lah iaitu Kamaruddin.
myminda08
0 comments:
Post a Comment