Monday, October 27, 2008

MENULIS BLOG SATU PERJUANGAN


Penulisan blog merupakan salah satu media terkini era baru yang bermula sejak pertengahan tahun 2000 dan semakin dikenali dan diiktiraf kewujudannya di Malaysia sejak PRU 12. Bermula dengan pengenalan e-mail di awal 90-an seterusnya pengenalan laman-laman web diakhir 90-an. Kini laman yang mudah dan percuma yang boleh dimiliki oleh semua orang telah memeriahkan lagi kehebatan dunia siber yang membawa seribu makna iaitu Blog.

Blog ialah sebuah laman web. Ia dibina menggunakan perisian yang telah diformat bagi membolehkan sesiapa sahaja membinanya tanpa perlu menguasai pengetahuan teknikal yang mendalam. Dalam erti kata lain, blog ialah sebuah laman web yang mudah dibina, dikemaskini, bersifat interaktif dan boleh dimulakan tanpa sebarang bayaran pendahuluan. Berbanding membangunkan sebuah laman web, sedikit modal perlu dikeluarkan untuk membayar hosting. Ada yang berpendapat laman web agak sukar untuk membentuk kumpulan pelawat yang aktif berinteraksi di alam siber. Hakikatnya, tujuan utama sebuah blog dibangunkan adalah untuk mencipta komuniti siber supaya berlaku pertukaran idea dan dapat berinteraksi antara pengendali blog dan pelawat siber. Blog merupakan alam baru yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja yang bijak mengaplikasikan teknologi Internet. Di Malaysia sahaja, terdapat lebih 600,000 blog yang aktif. Beberapa bulan yang lalu, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, pihak UiTM bersedia untuk mengesyorkan kursus pengajian blog sebagai salah satu mata pelajaran yang akan diajar di universiti tersebut. Ini menunjukkan begitu hebatnya amukan blog ini sehinggakan menjadi subjek dalam pengajian di universiti.

Sebenarnya kewujudan blog di Malaysia sebenarnya telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang terlalu dahagakan kebebasan media dan kebebasan bersuara. Blog dikatakan pembawa mesej aspirasi golongan muda yang rata-rata inginkan reform dalam pentadbiran negara. Blog menjadi tempat menyatakan pendapat oleh pemilik blog akan sesuatu perkara mengikut ilmu dan kefahaman serta penghayatan mereka. Menariknya, blog dikatakan sebagai salah satu penyebab kemenangan membanggakan Pakatan Rakyat (PR). Malah ahli-ahli politik kerajaan gagal menghidu sebaran politik cara baru ini.

Bermula-dari itulah maka berbondong-bondong ahli politik kerajaan membina blog sendiri termasuk ahli-ahli politik PR. Bermula-dari itulah juga, penulis-penulis blog atau blogger ini menjadi sasaran dan tumpuan tentera-tentera kerajaan yang ‘bimbang’ jika membuat ‘hasutan’ kepada rakyat yang membawa berita-berita yang tidak benar mengenai kerajaan. Blogger seperti Raja Petra Kamaruddin, Teresa Kok dan syed akhbar ali menjadi mangsa pertama pencabulan pendemokrasian kebebasan maklumat di Malaysia.

Walaupun kecaman demi kecaman terhadap blogger-blogger ini berlaku namun kehebatan blog ini semakin mendapat perhatian. Blog-blog yang sering menjadi tumpuan seperti blogspot, wordpress, blogdrive, blogsome dan lain-lain menjadi hiasan dunia tanpa sempadan yang sebenarnya menyuburkan iklim demokrasi di Malaysia. Penulis begitu terpesona, walaupun pihak-pihak tertentu melakukan pelbagai ancaman kepada rakyat Malaysia namun pada Pilihanraya Kecil Permatang Pauh iaitu Dato Seri Anwar malah pada Pilihanraya Kampus UPSI baru-baru ini, calon-calon pilihanraya kampus mempunyai laman blog masing-masing. Ini sebenarnya betapa hebatnya kehangatan blog ini dalam menyatakan sesuatu pegangan, prinsip dan suara ‘akar umbi’.

Penulis mula berjinak-jinak dengan dunia blogger ini sejak awal 2008 iaitu sebelum PRU 12 yang sebenarnya isu blog ini semakin panas sejak pertengahan tahun 2007. Sejak dari itu, penulis ingin menjadi salah seorang penyumbang ke arah proses pembebasan minda umat Malaysia. Walaupun penulis bukanlah orang yang hebat dan masih lemah daya kritikan dan pendapat namun sebenarnya bagi penulis ia sudah cukup buat permulaan menjadikan ia salah satu perjuangan ke arah menyuburkan elemen demokrasi dan kebebasan bersuara serta menjana minda menjadi lebih tajam, bernas dan mantap. Penulis tidak kisah jika pendapat blogger-blogger ini dipandang rendah atau ibarat tong sampah tetapi yang penting pendapat dalam blog dihargai kerana dibaca oleh pembaca dan menjadi bonus jika pendapat-pendapat blogger ini difikirkan dan dihayati walaupun hanya terperuk di sudut kecil minda pembaca.

Bagi penulis, apa gunanya ilmu setinggi gunung Semanggol tetapi hanya terperap di minda sendiri yang telah menganggap diri sudah punya ilmu setinggi Gunung Everest dan akhirnya terperangkap dalam dunia sendiri. Kita seharusnya berkongsi dan bertukar pendapat akan sesuatu isu supaya minda kita akan semakin berkembang dalam proses menegakkan kebenaran. Dalam usaha menegakkan kebenaran, jangan menganggap kebenaran akan menang dengan hanya berkata-kata atau hanya menulis di atas kertas dan akhirnya dibuang atau disimpan di dalam stor. Dunia sekarang memerlukan kita mengisi ruang-runag harapan yang mewujudkan kerangka-kerangka dunia pendemokrasian. Kita seharusnya mengambil peluang dan gagah mendepani sesuatu isu.

Penulis dan blogger yang ramai di gelombang siber ini optimis bahawa walaupun pendapat dan cadangan atau persepsi terhadap sesuatu isu tidak sehebat mana, blogger-blogger akan terus mewacana sesuatu di ruang-ruang maya ini. Bagi penulis, jika hari ini kita mewacanakan kuantiti wacana yang maksimum, penulis optimis pada hari esok, minggu hadapan, atau tahun-tahun hadapan blogger-blogger yang memaksimumkan wacana ini akan mewujudkan wacana yang berkualiti, bernas dan tuntas. Proses ini sebenarnya menajam dan mengasak minda untuk sentisa bekerja dan berfikir sepanjang masa. Penulis sendiri menjalankan kempen untuk diri sendiri iaitu satu wacana=satu minggu .

Proses ini sebenarnya mematangkan rakyat Malaysia bagi melahirkan generasi yang gagah mendepani problem minda dan umat. Penulis menyeru rakyat Malaysia menggunakan ruang-runang harapan ini selagi masih tidak dihalang untuk memeriahkan gelombang maya tanpa sempadan ini. Perjuangan rakyat Malaysia kini adalah menyuburkan keterbukaan minda dan kebebasan memberi pendapat dalam proses menegakkan tiang-tiang kebenaran. Isikan dan sibukkan masa kita dengan memikirkan isu untuk mengumpasnya, kerana minda ini ibarat seperti sebuah perigi yang bersih airnya. Jika kita mengambil sebatang kayu dan memasukkannya ke dalam perigi tersebut dan mengacau-ngacaunya maka kita akan dapat melihat pelbagai anasir dan rahsia yang wujud dalam perigi tersebut sperti bangkai haiwan, baju dan lain-lain. Itulah minda, jika kita memikir, mengkaji dan menafsir sedalam-dalamnya, kita akan dapat sesuatu yang baru dan menongkah minda sezaman. Percayalah jika anda mula menulis, anda akan lebih rajin membaca dan mengambil berat akan sesuatu isu.

P/s: penulis teringat kata-kata mantan presiden JIM penang semasa sesi usrah yang mengalakkan kita semua menulis blog kerana jika kita tidak mempunyai blog maka laman seperti sister in islam, islam liberal dan lain-lain lagi akan dilayari oleh rakyat Malaysia. Kewujudan blog sebenarnya menutup peluang pengkhianat dan pencabul agama.
mymindakini08

0 comments:

Post a Comment