Monday, November 10, 2008

IBU BAPA PERLU JAGA KREDIBILITI

Bahawasanya wacana ini khas untuk penulis tetapi penulis lebih suka agar ia disebarluaskan kepada ibu bapa dan bakal-bakal ibu bapa supaya ia menjadi tatapan dan sempadan diri. Penulis pernah terlibat dengan banyak program motivasi yang memerlukan pembinaan hubungan yang rapat dengan peserta-peserta program. Penulis sering menjadi fasilitator dan alhamdulillah pernah mengetuai program motivasi yang sebenarnya memberi impak besar kepada penulis bagaimana untuk mendekati kanak-kanak. Setiap program motivasi tersebut peserta-peserta diminta menulis borang pengenalan diri masing-masing. Dalam borang tersebut akan ditanya nama, hobi, falsafah hidup dan cita-cita.

Namun yang menariknya! di dalam borang tersebut ada ditanyakan mengenai insan yang dikagumi. Ternyata, pelbagai nama dan tokoh yang ditulis, tidak tahulah tokoh tersebut baru terlintas di minda atau tokoh tersebut memang dikagumi mereka. Rata-rata peserta ini menyenaraikan nama-nama pemimpin negara, saintis, ahli sukan, penyanyi, pelakon malah yang mengejutkan ada yang menulis Karl Mark (bapa sosialis) sebagai tokoh dikagumi. Namun, melalui pengalaman penulis, jika di buat program di sesebuah sekolah boleh dikatakan hanya 1-2 orang sahaja murid akan menulis nama ibu dan bapa mereka dalam senarai tokoh yang dikagumi. Malah lebih malang hanya kira-kira 2-3 orang sahaja mereka yang menulis Nabi Muhammad s.a.w sebagai tokoh yang dikagumi.


Apa yang penulis ingin kita lihat bersama adalah pada hari ini anak-anak tidak nampak ibu bapa mereka sebagai seorang yang dikagumi dan perlu dicontohi. Keadaan ini disokong oleh kondisi pada hari ini yang mana anak-anak tidak menghormati, menengking malah ada yang sanggup membunuh ibu bapa mereka sendiri. Penulis suka untuk pembaca sekalian terutama penulis sendiri yang sudah bergelar ibu bapa melihat keadaan dan isu ini dengan lebih berhemah dan penuh kesedaran. Penulis tidak merasa pelik atau hairan jika hari ini ramai ibu bapa yang bimbang kerana anak-anak lebih mempercayai dan mendengar serta mengagungkan orang lain berbanding mereka. Jika anak-anak tidak melihat ibu bapa sebagai insan yang dikagumi, maka sukarlah bagi mereka untuk menasihati, membimbing dan memotivasikan mereka. Puncanya adalah kerana kredibiliti ibu bapa di mata anak-anak adalah lebih rendah berbanding dengan kredibiliti orang lain yang dipilih sebagai model ikutan itu.


Di dalam kamus dewan edisi keempat memberikan maksud kredibiliti iaitu sifat yang boleh dipercayai atau diyakini dan kebolehpercayaan. Renungilah, adakah anak-anak kita mempercayai dan menyakini ibu bapa mereka sebagai insan yang boleh diikuti dan dicontohi? . Kredibiliti ini lebih menjurus kepada unsur kepimpinan yang sebenarnya amat rapat dengan sifat seorang ibu bapa yang amat memerlukan ketaatan dan kepatuhan tanpa syarat oleh anak-anak mereka. Adakah sifat dan tingkahlaku kita pada hari ini akan menjadikan anak-anak mengkagumi dan menjadikan kita sebagai ikutan? Tepuk dada sedarkan diri dan tanya diri kita sendiri.

Penulis sering mendengar Ibu bapa sering merungut, anaknya lebih mendengar dan mempercayai kata-kata guru di sekolah mereka berbanding ibu bapa mereka. Malah terdapat ibu bapa yang tahap pendidikan mereka jauh lebih tinggi daripada guru anak-anak mereka di sekolah tetapi anak-anak mereka lebih mempercayai guru mereka di sekolah. Ada kalanya, apa yang disampaikan oleh guru sama dengan apa yang diajarkan oleh ibu bapa. Tetapi bagi anak, ucapan guru itu lebih berkesan di hati mereka. Pendek kata anak-anak lebih percaya cakap-cakap orang lain berbanding ibu bapa mereka.

Di sini sebenarnya kredibiliti guru itu lebih tinggi daripada ibu bapa mereka walaupun pencapaian akademik ibu bapa mereka lebih tinggi. Kredibiliti ibu bapa menurun kerana disebabkan anak tahu sesuatu mengenai ibu bapa mereka yang orang luar tidak tahu . Mereka hidup setiap waktu dan saat dengan ibu bapa mereka. Anak-anak tahu kelemahan ibu bapa mereka. Dia tahu apa yang ibu bapa mereka sekadar bercakap dan tidak melaksanakannya. Ini kerana di rumah ibu bapa menjadi manusia sebenar yang berbeza dengan masyarakat di luar. Anak-anak tahu siapa ibu bapa mereka yang sebenar. Tetapi anak-anak tidak mengetahui siapa guru mereka kerana mereka tidak mengetahui sifat guru yang sebenar di belakang mereka. Inilah kadang-kadang penulis kecewa dengan kata-kata seorang guru disiplin penulis semasa penulis bersekolah dahulu yang mengatakan ‘Buat apa yang guru cakap dan jangan buat apa yang guru buat’. Di sekolah guru disiplin tersebut merotan pelajar yang merokok tetapi apabila di luar sekolah guru disiplin tersebut bebas merokok di hadapan khalayak ramai malah di hadapan pelajar yang dirotan di sekolah.
Pendidikan sebenarnya melalui teladan dan bukan melalui paksaan. Anak-anak lebih percaya apa yang mereka nampak , bukannya apa yang mereka dengar. Contohnya, mereka dengar ibu bapa suruh belajar, sedangkan dalam seminggu, ibu bapa tidak pernah membaca buku di depan anak-anak. Mereka juga mendengar ibu bapa suruh menepati waktu, sedangkan apa yang mereka lihat ibu bapa tidak menepati waktu dan gagal mengurus masa. Selain itu, ibu bapa menyuruh anak-anak sentiasa duduk di hadapan sekali di dalam kelas, tetapi apabila hadir majlis di sekolah jika boleh ibu bapa duduk di belakang sekali. Ibu bapa suruh anak-anak minum duduk, malah ibu bapa sendiri minum berdiri walaupun di hadapan anak-anak. Inilah perkara yang menjadi pemerhatian, penilaian malah ikutan anak-anak. Namun yang paling malang, ibu bapa inginkan anak-anak menjadi seorang yang taat kepada agama tetapi yang malangnya ibu bapa sendiri bebas mendedahkan aurat dan melanggar hukum agama dengan sewenang-wenangnya.

Sebab itulah ibu bapa perlu memiliki kredibiliti yang tinggi supaya mampu menjadi husnul khotimah kepada anak-anak. Barulah ibu bapa dijadikan contoh, nasihat dan teguran didengar, suruhan diikuti dan hukuman yang diterima dengan dada yang terbuka. Sememangnya, kredibiliti perlu dimiliki oleh semua orang pada hari ini kerana orang yang dipimpin samaada anak-anak di rumah atau pekerja bawahan, malah pendidik itu sendiri amat perlu menjaga kredibiliti ini. Anak-anak, pekerja bawahan dan murid-murid akan mentaati perintah kita tanpa syarat iaitu dengan rela hati dan penuh minat terhadap pemimpin di sekolah atau di tempat kerja jika kita sedar akan keperluan ini.


1 comments:

Anonymous said...

salam alaik..
sememangnya kondisi kini bjaya mngubah landskap permikiran ibubapa itu sndiri yg lebih gemar myerahkan tggungjawab mdidik anak kpd orang lain

natijahnya. anak-anak lbih percaya kepada orang lain berbanding mereka sndiri. Pencapaian akademik hanyalah ukuran lahiriah, tanpa kasih sayang memberi adalah beban dan benci-kata saiful islam

berda'wah tnpa kasih sayang, orangf sukar mnerima-penekanan oleh abass assaisy (buku jalan ke hati)

dan semua ini telah dbuktikan olh Rasulullah sbgi suri teladan yg baik sebagai, bapa, peniaga, pemimpin, guru

http://halimelqeat2.blogspot.com

December 19, 2008 at 3:55 PM

Post a Comment