Wednesday, December 10, 2008

TANAH RUNTUH: BAHANA PEMIMPIN YANG TIDAK BERINTEGRITI

Isu besar yang begitu penting dan mendapat perhatian kini adalah isu tanah runtuh yang terjadi di 3 kawasan dalam masa tidak sampai seminggu iaitu hanya selang beberapa hari. Tanah runtuh yang berlaku di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan ramai adalah tanah runtuh yang meragut nyawa 2 beradik di Ulu Yam selain di Jalan Semantan yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur selain kes terbaru yang begitu mengejutkan iaitu yang terjadi di Bukit Antarabangsa, Selangor. Jumlah mangsa yang terbunuh di Bukit Antarabangsa kini adalah 4 orang.

Penulis ingin memberi beberapa komentar berkenaan isu ini:

1. Bagi penulis, inilah bahana ketidaktelusan dan tiadanya integrity di kalangan pemimpian atasan peringkat negeri iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Masakan tidak!, penulis tidak salahkan pihak pemaju perumahan malah sesebuah projek tidak akan dijalankan jika tidak mendapat kelulusan PBT yang berada di bawah kerajaan negeri. Malah sebelum sesebuah projek diluluskan, ia perlu dinilai melalui beberapa sudut seperti kedudukan cadangan projek, keselamatan projek selain jenis tanah pembinaan projek dan lain-lain lagi. Namun jika ketidaktelusan dan terdapat ‘tangan di bawah meja’ menghulur untuk kelulusan sesebuah projek, walaupun melalui penilaian tempat yang tidak menyakinkan, ia tetap diluluskan.

2. Pengajaran berguna iaitu pada Disember 1992 dengan tumbangkan bangunan Highland Towers tidak diendahkan dek kerana buta mata ditutup dengan nilai-nilai besar wang. Hari ini baharulah ada interbiu dengan bekas-bekas mangsa Highland Towers, tetapi apa gunanya? Ia seperti menambah kedukaan dan kesedihan yang menjadi seperti dokumentari dalam rancangan Majalah 3 dan rancangan 999. Inilah Malaysia, yang sedih akan terus sedih, yang miskin akan terus miskin dan yang kaya akan terus kaya.

3. Penulis pelik dan hairan, kenapa media massa tidak focus terhadap siapa yang bertanggungjwab meluluskan projek-projek ini seperti di Bukit Antarabangsa? Padahal rumah tersebut telah di bina dan diduduki sejak 2 tahun lalu. Semua pihak menyalahkan PBT , tetapi pada era pemerintahan siapakah PBT kerajaan negeri Selangor yang meluluskan projek tersebut? Jikalau PBT di bawah Pakatan Rakyat yang terlibat dalam kelulusan projek tersebut, sudah tentu ia akan dihebah dan dihebohkan kepada seluruh dunia akan kepincangan mereka. Inilah satu lagi ketidaktelusan penyampaian maklumat yang mengakibatkan bukan hanya tanah sahaja runtuh malah moral golongan pemimpin dan golongan muda juga runtuh.

Namun ini merupakan peringatan dari Allah s.w.t supaya kita berfikir apakah salah dan kepincangan yang dibuat oleh tangan-tangan manusia sendiri. Jadikan ia sebagai pengajaran untuk diri kita. Marilah kita memohon doa kepada Allah supaya kita sentiasa diberikan kesedaran bahawa musuh utama kita adalah hawa nafsu.
mymindakini dot com

0 comments:

Post a Comment