Thursday, October 08, 2009

Minda Politik Malaysia

Sudah sekian lama, penulis tidak mencoret dan mencerna isi minda ke dalam blog ini. Kesibukan dunia dalam usaha melahirkan mata rantai islam yang terbilang sentiasa tersemat di minda. Penulis kini dalam proses pembikinan dalam mengubah pendekatan pencernaan minda penulis ke arah perkembangan pendidikan dan cuba mengubah sedikit demi sedikit pendekatanya. Sememangnya usaha ke arah membentuk generasi qudwah ini bukan hanya tertumpu kepada politik dan komentarnya tetapi berusaha keras mengasak minda mencari solusi dan membuka langkah melahirkan generasi.

Namun penulis suka jika penulisan penulis ini mendapat respon dan komentar membangun terhadap semua wacana penulis. Penulis menerima dan mengalu-alukan sebarang komen wacana penulis. Penulis tidak kisah jika dihambur kata-kata atau komen yang agak emosi kerana padan namanya blog ini mymindakini tetapi bukan mybukukini. Wacana penulis adalah 100% lahir daripada minda penulis bukannya merujuk kepada buku-buku tertentu. Namun penulis bersifat terbuka dalam menerima pendapat kerana kita seharusnya menghormati setiap pendapat bukan menguhukumi pendapat.

Berkaitan dengan keadaan politik negara yang dimainkan oleh rakyat jelatanya, kondisinya semakin celaru yang memaksa kita melihat pelbagai gelagat dan kerenah warganya sehinggakan kadang-kadang terdapat pemainnya yang agak meroyan. Tidak kiralah di pihak kerajaan dan pembangkang. Bagi penyokong kuat mana-mana pihak, mana mungkin akan menghina dan mencerca tindakan dengan sentiasa bersangka baik tetapi terus bersangka buruk mencerca pihak lawan. Tidak kiralah di pihak yang memuja islam dan sebaliknya….sama sahaja. Semakin sarat memasar dan mengendong membawa unsur jahiliah dalam kehidupan terutama membuat keputusan politik dan mencipta pengaruh.

Apabila pilihanraya kecil atau umum sahaja, penulis melihat pelbagai gelagat dimainkan oleh pemainnya tidak kiralah yang berserban 3 kilo beratnya atau bersongkok setinggi gunung. Tuduh menuduh, provokasi, hina menghina dan lain-lain lagi yang rata-rata memaksa kewujudan keadaan ‘sama tetapi tak serupa’. Apabila pilihanraya sahaja,tiba-tiba yang bergaduh berbaik semula, kapal yang nak karam ditutup bocornya diangkat semula menunjukkan kehebatannya dan keaiban yang dahulunya tidak pernah timbul tetapi apabila ada pilihanraya tiba-tiba sahaja timbul. Inilah pilihanraya dan politik Malaysia…untuk mencipta pengaruh sahaja sanggup berbuat apa sahaja. Namun mencipta pengaruh yang memerlukan kebijaksanaan dan kebijaksinian seterusnya berusaha membawa penilaian pemilih yang kini begitu bijak.

Sudahlah Sang Pemerintah yang sebegitu rupa, menutup sekian lubang yang ada dan menghambur kata-kata dan berita yang jauh dari kebenaran. Tetapi Sang Pembangkang pula mengikut rentak Sang Pemerintah yang menggunakan pelbagai peluang untuk mencari pengaruh.

Penulis begitu sedih dan kecewa dengan keadaan Parlimen Malaysia yang gagal menjadi Parlimen sebenar parlimen. Parlimen Malaysia menjadi tempat maki hamun, menunjukkan kehebatan, mematikan hujah lawan, bertengkar-tengkar, merendah-rendahkan lawan dan kadang-kadang tempat mencarut. Barisan Kerajaan dan Barisan Pembangkang saling bersangka buruk sesama sendiri manakala misi utama membela rakyat terabai. Inillah akibat kegagalan pihak kerajaan memanifestasikan ilmu sebagai benteng diri tetapi tumbang dek kerana tembakan emosi diri.

Dahulu, penulis dan rakan-rakan suka bermain terup tetapi tidaklah sampai berjudi tetapi menggunakan terup untuk bermain suatu permainan yang dinamakan ‘main tipu’. Permain-permain ini akan membahagikan semua terup yang ada secara seimbang kepada jumlah permain yang ada. Permain yang berjaya menghabiskan dengan cepat terup yang ada di tangan akan dikira berjaya. Namun untuk berjaya menghabiskan terup yang ada bukanlah mudah kerana perlu meletakkan terup dan menyebut nama terup dan jumlah yang diletakkannya contoh sebenarnya kita menyebut 3 daun terup K Kelawar tetapi kita sebenarnya meletakkan 1 K Kelawar dan 2 Q Kelawar. Jika terup yang kita letakkan itu dibuka kita dikehendaki mengambil semua terup ditengah tetapi jika sebaliknya, permain lawan yang mengatakan kita menipu pula akan mengambil semua terup yang ada.

Yang menariknya, bukan mudah untuk menipu permain lain kerana permainan ini mengajar kita menggunakan strategi politik yang hebat. Apabila kita meletakkan terup itu samaada betul atau tidak permain lain akan memandang mata dan pergerakan badan kita tetapi jika strategi kita gagal, ia akan memakan diri. Namun sebenarnya, untuk memenanggi permainan ini dengan mudah atau berjaya menghabiskan semua terup yang ada pada kita adalah dengan bersifat jujur iaitu jujur dengan perbuatan dan kata-kata. Terup jenis dan nombor yang diletakkan adalah sama dengan jumlah dan jenis terup yang disebut.

Inilah permainan politik, bagi penulis, politik yang bijaksana adalah politik jujur dan penulis sendiri sedang menunggu terdapatkah parti yang mengamalkan politik jujur yang akan dinilai oleh rakyat. Di mana apabila tiba pilihanraya, parti-parti ini hanya memasarkan agenda bertanding bukan mencerca, menghina, mengaibkan dan lain-lain lagi. Ingatlah, Islam itu tertegak atas keruntuhan Jahiliah.
mymindakini dot com

0 comments:

Post a Comment