Tuesday, June 22, 2010

SUBSIDI : negara menjadi bankrupt?



Kali ini penulis tertarik mengenai isu ekonomi yang menjadi mainan dan tatapan dan mungkin kemurungan pihak yang memahami isu ekonomi ini. Penulis membuat sedikit komentar setelah menonton Di Luar Lingkungan mengenai Subsidi: Bagaimana cara dikurangkan? bersama tiga ahli panel iaitu Datuk Dr. Salleh Majid , Prof. K. S Jomo (PBB) dan Dr. Azlan Ismail (Harvard).


Ketiga-tiga ahli panel tidak menyatakan sokongan tetapi seharusnya fakta ekonomi itu sendiri perlu diperjelaskan dengan lebih baik. Pihak kerajaan menghebohkan mengenai jika subsidi dikekalkan, maka negara akan bankrup seperti Greece. Seharusnya pihak kerajaan tidak harus menakutkan rakyat dengan tujuan rakyat akan menerimanya. Sebuah negara bukan sebuah syarikat yang boleh bankrup, masalahnya adalah perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Setiap tahun belanjawan kerajaan mengalami defisit, inilah yang perlu ditangani terlebih dahulu. Pihak kerajaan seharusnya berjimat semasa ekonomi sedang melambung.


Kerajaan sepatutnya tidak membuat perancangan sesuka hati dengan mengambil jalan mudah dengan mengurangkan dan seterusnya menghapuskan subsidi. Rakyat perlu menghakimi dan menilai bahawa setiap tahun ketua audit negara mengeluarkan maklumat bahawa terdapat banyak kebocoran dan ketirisan dalam akaun awam terutama dalam perbelanjaan mengurus. Persoalannya adakah yang kebocoran dan ketirisan ini telah ditampal atau diatasi? Pihak kerajaan sepatutnya berfikir untuk mengatasi ketirisan ini terlebih dahulu sebelum melihat subsidi ini kepada rakyat.


Berpandukan perbincangan tersebut, penulis berpendapat bahawa pengurangan dan penghapusan subsidi ini perlu dijalankan secara berperingkat, pihak kerajaan perlu buat ujian terlebih dahulu supaya nanti tidak membentuk suasana yang tidak terkawal. Kerajaan dilihat lemah kerana setelah mengumunkan sesuatu dasar kemudian menarik balik seperti kenaikan harga minyak dan yang terbaru PERKASA yang mengkritik Model Ekonomi Baru oleh D. S. Najib, Najib dengan selamba berkata bahawa MEB bukanlah muktamat lagi, ia boleh dikaji semula.


Selain itu, persoalan lain adakah kerajaan akan mengurangkan atau menghapuskan subsidi kepada semua sektor. Tetapi jika kerajaan bercadang mengurangkan subsidi semua sektor sesuatu yang amat memeranjatkan bagi rakyat seantero 1Malaysia adalah kos melepas yang ditanggung oleh sektor pendidikan dan sektor kesihatan. Kini rakyat mampu berhadapan dengan sektor pendidikan kerana banyak pilihan dari IPTA atau IPTS, sekolah kerajaan dan sekolah swasta. Rakyat boleh membuat pemilihan samada ingin ke sekolah kerajaan atau swasta. Manakala hospital pula, rakyat yang berpendapatan rendah akan ke hospital kerajaan kerana bayarannya amat murah dan ubatnya adalah percuma.


Sebenarnya, semuanya adalah subsidi. Subsidi yang digunakan untuk membiayai sektor pendidikan melalui pembelian buku teks, penyediaan kemudahan dan lain-lain. Jika ia dikurangkan malah dihapuskan. Maka setiap bulan rakyat terpaksa membayar kepada kerajaan untuk anak ke sekolah dan yang lebih malang lagi, tidak akan wujud lagi hospital kerajaan yang menjanjikan perkhidmatan murah dan ubat-ubatan percuma kerana jika subsidi dihapuskan. Keadaan ini akan menyebabkan jumlah miskin tegar akan meningkat dan adakah negara akan menjadi maju atau berpendapatan tinggi ? jika rakyatnya merangkak di tepi-tepi jalan merayu meminta makanan. Pengurangan subsidi akan beri kesan kepada OKU, pendapatan rendah, miskin bandar, petani dan nelayan.


Pada hemat penulis, tidak sesuai lagi subsidi dikurangkan. Subsidi ini merupakan agihan pendapatan kepada rakyat. Kos sara hidup penduduk Malaysia masih rendah jika dikurangkan malah dihapuskan subsidi, lambat laun ramai rakyat akan mati kerana tidak mampu untuk menerima rawatan di hospital selain tahap pendidikan rakyat akan menjadi rendah kerana tidak mampu untuk membyar yuran sekolah.


Jangan Jadi seperti PPSMI

Jangan jadi sepertti PPSMI, akhirnya membawa kerugian besar kepada duit rakyat. Kerajaan menjalankan dasar PPSMI tanpa kajian menyeluruh dan tanpa pandangan pakar dan akhirnya. Kita lihat sekarang untuk menjalankan PPSMI kerajaan terpaksa membuat modul, melatih guru, menyediakan buku teks dan kemudahan Pengajaran dan pembelajaran. Perbelanjaan PPSMI memakan belanja berbillion ringgit. Namun hasilnya tidka seperti diharapkan. Kini kerajaan kembali kapada dasar asal, persoalannya bagaimana wang yang dibelanjakan untuk PPSMI dahulu? Jangan jadi pisang berbuah 2 kali. Orang yang bijak tidak akan masuk ke lubang yang sama tidak lebih daripada sekali.


Sewajarnya pengurangan dan seterusnya menghapuskan subsidi ini mendapatkan pandangan dan apa sahaja keputusan mengenai subsidi perlu dikaji dan diurus dengan baik kerana kesannya amat besar kelak.


Kerajaan perlu jujur dan telus dalam membuat penerangan kepada rakyat kesan daripada pengurangan subsidi ini. Kerajaan seharusnya jujur dalam menjelaskan kesan sebenar jika subsidi ini dikurang dan dihapuskan namun rakyat juga perlu tahu keperluan kerajaan mengurangkan dan menghapuskannya.


Kini kerajaan berusaha menjalankan trnsformasi ekonomi tetapi pendekatan kepada perubahan pemikiran rakyat mengenai kesan dan akibat subsidi ini perlu diperjelaskan dengan jujur. Rakyat kini begitu bijak menganalisa isu dan maklumat. Pemikiran rakyat terhadap subsidi ini akan lebih meruncing jika ramai rakyat mengetahui kesan besar disebalik perlaksaannya. Seharusnya Transformasi ekonomi ini perlu melihat bahawa perubahan sikap rakyat itu lebih penting daripada perubahan pemikiran. Kerajaan perlu berusaha mengubah sikap rakyat berbelanja, kesihatan dan mengurus kewangan terlebih dahulu sebelum membawa kepada perubahan pemikiran yang mungkin menjanjikan ketidakyakinan rakyat kepada kerajaan.


Namun persoalannya sekarang, ADAKAH DENGAN PENGHAPUSAN SUBSIDI AKAN MENYEBABKAN NEGARA MENJADI NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI DAN NEGARA MAJU?


mymindakini dot com

0 comments:

Post a Comment