Antara Air percuma dan harga minyak
Dua isu yang agak besar dan mungkin di buat-buat besar juga telah menjadi bualan hangat rakyat di negara kita. Isu yang menjadi bualan hangat rakyat negara kita adalah kenaikan harga minyak akibat penghapusan subsidi oleh kerajaan. Namun bagi penulis pihak kerajaan cuba mengalih tumpuan rakyat kepada isu pemberian air secara percuma oleh kerajaan negeri Selangor kepada rakyat yang tinggal di negeri Selangor.
Bagi penulis, hanya setelah 5 bulan kerajaan Pakatan Pembangkang memerintah Selangor, mereka telah berjaya memberi hadiah kepada rakyat walaupun terpaksa menanggung 132 juta setahun bagi menanggung kos pemberian percuma air kepada rakyat. Penulis suka untuk mengulanggi bahawa rakyat tidak mahu ambil tahu langsung akan kerugian yang dialami oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, namun yang mereka mahu adalah mereka hidup selesa dan sejahtera. Kerajaan perlu mengetahui bahawa mereka perlu melaksanakan semua tindakan adalah untuk keperluan rakyat bukan hanya melakukan untuk keperluan politik semata. Bayangkan dalam keadaan rakyat terpaksa menongkah cabaran terhadap kenaikan minyak dan harga barang, kerajaan negeri Selangor memberi tonik dan harapan kepada rakyat negeri Selangor. Walaupun nampak dikecam oleh media dan memperlekehkan usaha Kerajaan Selangor yang kononnya memenuhi janji dalam manifesto. Namun ia merupakan ‘keputusan popular’ berbanding keputusan bukan popular tetapi keputusan yang drastik.
Bagi penulis, sebagai kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan, persoalan yang lebih penting memenuhi janji dalam manifesto? atau memenuhi tuntutan sebagai pemerintah yang berkorban untuk rakyat?. Penulis merasakan pemberian air percuma tepat pada masanya pada ketika rakyat sedang bergelumang dengan penangan kerajaan akibat PRU12 yang lalu. Kerajaan negeri Selangor boleh sahaja memberi air percuma tahun depan atau 4 tahun lagi namun disebabkan keprihatinan sebagai sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyatnya dalam keadaan keperitan dan penderitaan kerana penangan kerajaan pusat. Namun usaha kerajaan negeri Selangor diperlekehkan oleh kerajaan pusat melalui medianya kerana terpaksa membelanjakan 132 juta setahun dek kerana rakyatnya, adakah salah pengorbanan kerajaan negeri Selangor yang sama-sama susah bersama rakyatnya? Sebesar mana sangat 132 juta jika dibandingkan keluhan dan kegelisahan kerajaan pusat kerana subsidi minyak yang terpaksa ditanggung sebayak 57 billion?
Dua isu ini begitu hangat diperkatakan oleh media namun kenaikan harga minyaklah yang hangat diperkatakan oleh rakyat. Dua isu ini menonjolkan perbezaan yang nyata. Kerajaan pusat yang terpaksa menarikbalik subsidi minyak manakala kerajaan negeri Selangor yang memberikan air percuma pada masa rakyat memerlukan semangat untuk terus mengarunggi hidup. Bagi kerajaan pusat, biarlah rakyat menderita dan hidup dalam kemiskinan yang penting, bagi mereka, mereka ingin menjadikan rakyat hidup dalam persaingan yang kononnya ia adalah usaha kerajaan bagi mencapai negara maju pada masa hadapan. Bagi penulis, kerajaan kena belajar mengukur baju di badan sendiri selain berpijaklah di bumi yang nyata.
Kabinet Dato’ Seri Pak Lah begitu lemah untuk menghadapi keadaan yang sukar begini. Bagi penulis peningkatan harga minyak di pasaran bermula pada 2006 lagi namun tiada usaha penyediaan ‘master plan’ atau ‘blue print’ untuk menghadapi keadaan yang sukar ini. Dato’ Seri Pak Lah perlu mengetahui bahawa beliau mentadbir negara dan bukan mentadbir pusat perniagaan. Kerajaan memerlukan perancangan yang dapat menghadapi sebarang kemungkinan terhadap pembolehubah yang boleh mengancam keadaan negara. Namun bagi penulis, persediaan kabinet terhadap penghapusan subsidi ini memang ibarat tindakan ad-hoc yang tidak dirancang dengan sistematik. Sebarang kesilapan dalam perancangan yang bersifat ad-hoc akan menyebabkan pembaziran sumber dan perbelanjaan selain kerugian kepada rakyat.
Penulis meninggalkan persoalan kepada pembaca sekalian, adakah pemberiaan RM650 dan RM150 yang akan habis kira-kira 3 bulan cukup untuk berhadapan kenaikan harga minyak dan harga barang? Adakah cukup gaji kakitangan kerajaan diberi 2 kali sebulan untuk berdapan dengan kenaikan harga semua barangan tanpa peningkatan gaji? Apa relevannya? Adakah cukup pemotongan 10% (RM1200) elaun keraian Perdana Menteri, Timb. Perdana Menteri dan menteri kabinet dengan elaun keraian mencecah RM12 000 sebulan berbanding keperitan rakyat ? Apakah relevennya kerajaan memberi amaran kepada pengusaha bas ekspress bahawa sebarang kenaikan harga tiket akan menyebabkan lesen perniagaan digantung kerana kuota subsidi minyak masih diberikan kepada pengusaha perkhidmatan awam? Namun adakah kenaikan harga minyak di Malaysia tidak akan mempengaruhi harga makanan pengusaha dan pemandu bas ini?
Kabinet perlu bijak sana dan bijak sini kerana kebijaksanaan kerajaan kini merupakan penentu terhadap wajah negara pada masa hadapan.
mymindakini08
0 comments:
Post a Comment