Wednesday, October 22, 2008

PENGHAPUSAN SUBSIDI MINYAK:Kerajaan dedah kelemahan pentadbiran.

Penulis begitu berminat untuk menulis berkaitan dengan isu penghapusan subsidi minyak. Walaupun rakyat akan menerima tekanan yang lebih besar namun pihak kerajaan tetap menghapuskan subsidi walaupun tidak secara total. Semalam harga minyak petrol telah meningkat daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 iaitu meningkat 78sen manakala harga diesel meningkat daripada RM1.58 kepada RM2.58 iaitu meningkat RM1. Peningkatan lebih 41%, iaitu sejarah baru negara.

Malam tadi penulis telah menonton program ISU iaitu program temubual dengan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu Datuk Shahril Abd. Samad. Penulis kurang berpuas hati dengan jawapan Datuk Shahril mengenai bagaimana kerajaan merangka perancangan jangka panjang dan jangka pendek setelah menghapuskan harga minyak terhadap golongan berpendapatan rendah. Beliau mengatakan kerajaan telah menyediakan rebet daripada perbelanjaan subsidi oleh kerajaan melalui pembaharuan cukai jalan. Pemilik kenderaan yang memiliki kenderaan di bawah 2000cc akan menerima RM 650 setahun dan motorsikal di bawah 250cc akan menerima RM150 setahun. Secara kasarnya, bolehlah dikatakan bahawa wang rebet ini kononnya dapat digunakan untuk menutup lompang perbelanjaan harga minyak rakyat. Namun apalah sangat dengan wang rebet ini, penulis bukanya tidak bersyukur atau tidak berterima kasih kepada kerajaan namun berapakah pemberian wang rebet yang tinggal ini setelah dibayar cukai jalan kenderaan? Bagi mereka yang berpendapatan rendah, wang yang diberikan tidak langsung mengurangkan beban rakyat. Kenaikan harga minyak akan memberi kesan setiap hari kepada rakyat. Rakyat akan menaiki kenderaan, membeli barangan keperluan, berhadapan dengan masyarakat dan lain-lain lagi.

Bagi penulis kerajaan terlalu mengambil mudah dan tidak mengkaji isu ini dengan lebih menyeluruh. Kerajaan melaksanakan rebet ini adalah kerana untuk menyedapkan hati rakyat selain untuk menutup kelemahan. Kerajaan perlu mengkaji, jika rakyat yang berpendapatan rendah tidak memiliki kenderaan samaada kereta atau motorsikal bagaimanakah mereka ingin berhadapan dengan kenaikan harga minyak? Datuk Shahril juga ditanya mengenai permasalahan ini iaitu jika rakyat tidak mempunyai sebarang kenderaan, bagaimanakah mereka dapat menikmati pulangan ini. Datuk Shahril mengatakan kerajaan telah meneliti permasalahan ini dan keadaan ini merupakan fasa pertama. Mereka juga akan dapat mendapat pemberian dari kerajaan selepas ini. Jadi bagi penulis kerajaan melaksanakan perancangan ini tanpa perancangan yang teliti. Masakan isu penghapusan subsidi minyak ini dikatakan pada bulan ogos tetapi ia diumumkan semalam. Jadi tiada perancangan yang konkrit untuk berhadapan isu ini selain tiada perancangan jangka penjang dan pendek. Masakan pula! Setelah dua hari pengharaman penjualan minyak kepada warga asing dibuat tetapi ditarik balik setelah harga baru minyak diumumkan. Adakah kerajaan negara kita hanya melakukan sesuatu perancangan secara membabi buta dan hentam kromo? Begitu lemahnya pemimpin negara kita namun itulah pilihan rakyat Malaysia.

Ramai pemimpin-pemimpin kerajaan yang mudah mengatakan rakyat perlu menaiki kenderaan awam bagi mengatasi masalah kenaikan harga minyak. Namun yang menjadi permasalahannya sektor pengangkutan di negara kita tidak ditingkatkan perkhidmatannya walaupun ’janji’ Dato Seri Pak Lah untuk meningkatkan sektor perkhidmatan awam. Bagaimanakah untuk menaiki kenderaan awam jika penggunaannya akan menyebabkan kedatangan ke tempat kerja yang lewat selain kedudukan stesen LRT yang jauh dari tempat tinggal.

Penulis bukanlah seorang yang terlalu prejudis dengan dasar kerajaan namun bermula di akhir pemerintahan Tun Dr. Mahathir dan pemerintah Dato; Seri Pak Lah, penulis merasakan kerajaan melaksanakan dasar dan polisi tanpa kajian yang menyeluruh. Lihat sahaja penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Sehingga kini tidak ada ketetapan akan perlaksanaannya, kebanyakan ahli akademik menentang perlaksanaannya bersama bukti yang kukuh selain kajian selama 6 tahun yang boleh dikatakan gagal. Penulis sedih akan isu ini kerana kegagalan akan isu ini akan mengundang pelbagai kesan terhadap lebih kurang 6 tahap pendidikan. Bagaimanakah jika sistem ini gagal? Ke manakah murid dan pelajar yang ’digagalkan’ melalui perlaksanaannya sistem ini? Apakah tindakan susulan terhadap ’mangsa’ yang digagalkan? Namun, bagi penulis kerajaan tidak akan memberhentikan atau menamatkan sistem ini walaupun pihak kerajaan mendapat bukti jelas akan kegagalan sistem ini. Selain, kajian oleh pakar-pakar pendidikan mengenai perlakasanaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik. Kita boleh lihat akan keputusan UPSR 2008 yang menjadi eksperimen pertama kerajaan. Tentu sahaja keputusannya amat memberangsangkan seterusnya meneruskan sistem ini. Sememangnya setiap tahun, keputusan peperiksaan UPSR, PMR mahupun SPM tetap meningkat.

Bagi penulis, kenaikan harga minyak yang mendadak ini akan menyebabkan pelbagai kesan buruk dan kemungkinan besar inflasi akan meningkat manakala pelaburan asing ke negara kit a akan berkurangan kerana peningkatan taraf hidup rakyat . Peningkatan taraf hidup rakyat yang tinggi akibat kekurangmampuan rakyat mendapatkan barang keperluan yang menyebabkan ketidakmampuan memenuhi kehendak. Apabila berlaku peningkatan taraf hidup, rakyat akan memberontak menyebabkan keadaan politik kurang stabil. Keadaan ini menyebabkan pelaburan asing menurun. Apa guna menuju negara maju jika rakyat menderita.

mymindakini08


0 comments:

Post a Comment