Wednesday, October 22, 2008

DEBAT ATAU MENJATUHKAN KREDIBILITI ANWAR?

Penulis telah menonton sepenuhnya Debat antara Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan iaitu Datuk Sabree Chik. Bagi penulis kerajaan BN sebenarnya berjaya memerangkap anwar melalui perancangan strategiknya yang mantap. BN berjaya menjadikan kelemahannya selama ini sebagai satu peluang yang pada masa yang sama menonjolkan pembaharuan dalam dasar BN yang begitu takut untuk menganjurkan debat seperti ini. Tahniah kerajaan BN, anda telah berjaya menonjolkan kehebatan sebagai pendekar parang kontot.

Bagi penulis, secara total debat ini tidak memaparkan suatu yang baru atau mengejutkan, selain daripada berlangsungnya debat itu sendiri dan dipaparkan dalam media yang kurang utama (Astro awani, Bernama TV dan TV9) . Boleh dikatakan hanya 40% rakyat Malaysia yang dapat menonton. Kalau seseorang menanti-nantikan suatu yang fantastic dan bombastic dalam debat ini, nampaknya ia akan kecewa. Bagi penulis, debat ini hanya sesuatu yang biasa kerana penulis tidak mahu terpedaya dengan mainan politik kerajaan.

Pada penulis, secara keseluruhannya Anwar menang , namun. Anwar agak lemah pada tahap awalnya, sedangkan Sabree agak bersedia dengan data-data, tetapi di hujungnya sabree macam longlai dan terpaksa menggunakan serangan peribadi yang yang relevan. Penulis sebenarnya mengharapkan persembahan Anwar lebih meyakinkan lagi daripada ini, yang banyak menggunakan retorika lebih daripada fakta dan data, terutamanya di peringkat awal. Seperti yang kita kenali, anwar pandai berkata-kata sebagai seorang politikus, namun bagi mereka yang berilmu, mereka melihat debat ini hanya sebagai debat politik yang kurang memiliki aliran ilmu dan menjawab persoalan mengenai tajuk.

Penulis berminat untuk mengupas sedikit berkenaan kandungan-kandungan debat malam tadi walaupun pembaca sekalian sudah mengetahuinya Cuma penulis berminat akan hujah daripada anwar semasa menjawab tuduhan sabree berkenaan krisis 1998. Isu "prescribed to IMF formula" yang dikatakan bahawa anwar sebenar ingin meminta bantuan IMF berkenaan isu kemelesetan 1998. Kesannya tetap sama jika "prescribed to IMF formula" pada 1998 dan menaikkan harga minyak pada RM2.70 yang kesannya tetap sama iaitu menyebabkan kadar faedah meningkat dan kenaikan NPL bank-bank selain kenaikan inflasi dan seterusnya memberi kesan terhadap nilai mata wang ringgit.

Bagi penulis hujah anwar untuk menurunkan harga minyak setelah berkuasa nanti agak praktikal dan logic. Penulis melihat beberapa hujah menarik daripada anwar untuk menurunkan harga minyak iaitu :

1. Minyak dapat diturunkan jika lebihan tenaga yang dijana oleh Independent Power Producer (IPP) dapat dikurangkan dari 40% kepada 20%.
2. Minyak dapat diturunkan jika masalah kebocoran/ketirisan dapat dibendung.
3. Minyak dapat diturunkan jika ekonomi diuruskan dengan cekap.
4. Minyak dapat diturunkan jika salahguna kuasa dan penyelewengan dana rakyat dapat dibendung.
5.Negara seharusnya lebih mementingkan rakyat miskin sebelum menaikkan harga minyak mendadak.
6.Minyak dunia naik maka keuntungan Petronas akan naik. Lebihan keuntungan perlu digunakan untuk menyerap kenaikkan harga minyak dunia.

Penulis melihat anwar terperangkap dan agak tergugat apabila beliau mengumumkan penurunan cuma 50 sen harga minyak kepada RM2.20 bukannya kepada tahap asal RM1.92. Penulis merasakan dan menjangkakan isu ini akan digunakan sebagai modal kerajaan BN. Seharunya anwar perlu menyedarkan sabree, bahawa kedua-dua pendebat perlu berpijak di bumi yang nyata dan terkini. Buat apa nak turunkan bermula RM1.92 kerana minyak sudah pun naik menjadi RM2.70m jadi penurunan bermula dari RM2.70.


Hujah dari sabree yang agak menarik, kalau negara memberikan subsidi yang banyak kepada industri minyak ini untuk menurunkan harga minyak, bermakna kerajaan juga terpaksa memberikan wang rakyat kepada syarikat bukan milik negara ialaitu Shell, Mobil dan sebagainya. Rentetan daripada itu, kerajaan mengambil keputusan utk memberi berbagai insentif pulangan terus kepada rakyat seperti rebet dan sebagainya seperti pengurangan cukai kepada yang berpendapatan bawah 2000 kata Nordin Kardi.


Bagi penulis, sabree berjaya menggunakan perkataan ‘bertanggungjawab’, ia sebenarnya memberikan dan mencerminkan satu impak kepada rakyat kerana sabree berkata berdasarkan keadaan sebenar yang diketahui di pihak kerajaan namun anwar bercakap dengan hujahnya yang mantap tetapi tidak berada di pihak kerajaan. Tindakan ‘bertanggungjawab’ menonjolkan bahawa kerajaan melihat isu ini sebagai isu masa depan untuk generasi depan menikmati hasil petroleum ini lagi.


Penulis merasakan bahawa hujah yang diucapkan bagi anwar dan sabree perlu dijelaskan kepada rakyat yang tinggal di kampung. Ini disebabkan penggunaan IPP, Subsidi, Bailout, dan beberapa lagi agak tinggi dan mungkin kurang difahami oleh orang kampung dan rakyat yang kurang ilmu. mereka yang tinggal di kampung dan kurang berilmu ini mungkin banyak termakan hujah sabree yang menyerang peribadi anwar berkenaan demontrasi, penentang terhadap Tun Razak, Tun Dr. Mahathir memang jelas nampak berbanding wang yang digunakan utk menampung kroni kroni kerajaan.


Seharusnya anwar boleh kelihatan mantap lagi dengan membandingkan negara Malaysia dengan Singapura, Thailand, Vietnam dan sebagainya dari sudut pendapatan perkapita. Ini kerana hujah harga minyak Malaysia lebih mahal dari negara jiran memang menjadi hujah mantap oleh kerajaan sedangkan hakikatnya pendapatan mereka 2 atau 3 kali ganda daripada rakyat Malaysia. Hujah ini amat penting jika ia keluar daripada mulut anwar sendiri. Mungkin penulis merasakan masa terlalu pendek anwar tidak sempat menjawabnya.


Bagi penulis , sabree sudak kelemasan untuk menjawab hujah anwar kerana kelihatan sabree begitu banyak menyerang peribadi Anwar, yang di hujung debat dijawab dengan berkesan oleh Anwar. Bagi orang yang berfikir, ini menjatuhkan kredibiliti anwar. Sabree juga tidak menjawab langsung soalan yang dikemukakan oleh Zulkifli Sulong (siasah) mengenai penggunaan wang yang dijimatkan daripada membayar subsidi, terutamanya berkait dengan meningkatkan mutu pengangkutan awam. Ini menonjolkan kelemahan kerajaan BN dalam menunaikan janji mereka.

Akhir kalam, bagi penulis walau sehebat manapun hujah anwar kerajaan BN berjaya menjadikan pentas debat ini sebagai medan menjatuhkan kredibiliti anwar. Debat ini sebenarnya merupakan sebagai alat yang penting kerana kerajaan BN dapat memberitahu rakyat bahawa kata-kata anwar untuk menurunkan harga minyak adalah retorik . Sabree bijak menggunakan peluang untuk meyakinkan rakyat bahawa sejarah anwar sejak era kemahasiswaan hinggalah dipecat daripada UMNO membuktikan bahawa anwar hanya bijak beretorika tetapi aksinya tidak seperti yang diharapkan.

Penulis tinggalkan pembaca untuk melihat sendiri bahawa adakah rakyat lebih mempercayai Anwar yang berjanji akan menurunkan harga minyak, atau kerajaan, yang menyebut perlu menaikkan harga minyak di atas sikap bertanggungjawab? Ada sesiapa yang dapat menyelami reaksi rakyat di tempat masing-masing, walaupun hanya secara anekdotal?

Abu nabil 2008

0 comments:

Post a Comment