Wednesday, October 22, 2008

SYURA KAEDAH TERBAIK SELESAIKAN PERBALAHAN

Penulis suka untuk berkongsi dengan pembaca sekalian berkenaan kondisi-kondisi di sekeliling penulis. Wacana ini hanyalah perkongsian jariah untuk pembaca sekalian supaya mengamalkannya dalam senario kehidupan kalian terutama apabila ditaklifkan mengetuai sesebuah oraganisasi. Penulis bukanlah arif dalam bidang ini, tetapi penulis hanya mengabungkan sedikit sebanyak teori dengan kondisi penulis selain menambah pengalaman penulis sebagai hamba Allah yang serba kekurangan ini.

Penulis bukanlah arif dalam wacana ini tetapi dalam sebuah jamaah kita harus berkongsi segala ilmu yang kita miliki walaupun sedikit supaya sesebuah organisasi menjadi kukuh dan mantap serta gagah mendepani pelbagai ujian. Penulis pernah mendengar kata-kata seperti ini:

‘Orang atasan ibarat seperti seekor monyet yang memanjat pokok kelapa, monyet di atas pokok itu akan mengambil kelapa itu dan membaling ke tanah dan berhati-hati takut terkena orang (bawahan) yang menunggu di bawah, manakala orang di bawah (bawahan) melihat ke atas dan hanya melihat punggung monyet tersebut (perkara tidak baik)’

Kata-kata seperti ini bermakna pekerja bawahan ini hanya memandang perkara tidak baik sahaja terhadap ornag atasan tetapi orang atasan sentiasa memikirkan tentang kebaikan orang bawahan. Sebaliknya orang atasan hanya menganggap orang bawahan ini adalah golongan yang tidak faham dengan keadaan orang atasan sahaja. Bermakna secara neturalnya jika kita menjadikan kata-kata ini sebagai tanggapan seorang pemimpin atasan bermakna nur islam sebagai agama yang syumul dan universal tidak dipraktikkan. Keadaan ini menyebabkan pekerja atasan akan melakukan kekerasan atas layanan terhadap pekerja bawahan kerana menganggap pekerja bawahan tidak memahami akan keadaan pekerja atasan yang berusaha mencapai misi dan visi organisasi. Penulis suka untuk pembaca sekalian membaca intipati Al-Quran iaitu:

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.
(Ali-Imran:159)

Bagi penulis, keadaan ini tidak wujud terutama dalam organisasi islam kerana kata-kata dan tanggapan ini merupakan tanggapan seorang kapitalis yang mementingkan pencapaian visi dan misi organisasi tanpa memikirkan juzuk-juzuk kecil yang amat penting dalam mencapai ketaqwaan seorang muslim.

Apabila keadaan ini berlaku bermakna nur islam yang menyeru ke arah maaruf dan mencegah ke arah kemungkaran tidak dilaksanakan dengan baik waima sebuah organisasi islam. Keadaan seperti ini boleh dirumuskan berlaku masalah komunikasi selain masalah hablumminannas dalam organisasi.

Tanggapan seperti ini sering difikirkan oleh penulis, pada awalnya penulis agak terpengaruh dengan tanggapan ini namun setelah mengkaji dan menilai tentang tanggapan ini sebenarnya ia mencerminkan satu bentuk pengurusan ala- kapitalis. Apabila tanggapan ini menjadi ‘kitab pemimpin’ dan mind set maka akan sentiasa wujud sangkaan yang tidak baik terhadap pekerja bawahan walaupun niat pembaikan oleh pekerja ingin dilakukan.

Jika dikaji melalui ilmu, kewujudan pengurusan kapitalis ini akhirnya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan berlaku tanggapan tersebut. Natijah daripada pengurusan ala-kapitalis ini menyebabkan wujud bagai cendawan kesatuan-kesatuan sekerja yang ditubuhkan untuk membela pekerja-pekerja yang ditindas dan dibela dengan seadil-adilnya. Mengikut sejarah, kesatuan-kesatuan sekerja ini wujud semasa pekerja-pekerja di Britain tidak dibela dengan seadilnya menyebabkan unsur-unsur sosialis wujud membela pekerja-pekerja seperti ini. Lihat sahaja kewujudan kasatuan-kesatuan sekerja yang wujud di Malaysia bukan hanya wujud di syarikat-syarikat swasta namun wujud di syarikat-syarikat milik orang islam.

Bagi Penulis, keadaan golongan atasan dan bawahan berlaku perselisihan kerana ia tidak diuruskan dengan baik. Golongan atasan perlu memahami bahawa pekerja bawahan ini merupakan golongan yang perlu difahami (rujuk wacana penulis: memahami Kepimpinan Ber’empati’). Namun sebenarnya apa yang menjadi masalah dalam sesebuah organisasi terutama sesebuah organisasi islam merupakan persefahaman dan sifat saling sayang menyayanggi antara satu sama lain. Bagi penulis, kewujudan perselisihan antara pemimpin bawahan dan atasan ini kerana perbezaan pendapat. Pemimpin atasan terlalu taksub untuk mencapai visi dan misi organisasi(kapitalis) tanpa memikirkan juzuk-juzuk yang hanya dianggap kecil yang sebenarnya besar untuk merialisasikan visi organisasi.

Bagi penulis, perbezaan pendapat di antara anggota organisasi merupakan satu perkara biasa. Malah ia dianggap satu ‘rahmat dari Allah SWT’ yang bertujuan untuk membuka pintu-pintu kemudahan dan penyelesaian terhadap masalah dan pengurusan kepentingan manusia.(Sapora sipon, UPM). Namun, apa yang amat membimbangkan ialah apabila perbezaan pandangan bertukar menjadi satu konflik tegar yang akan membawa kepada implikasi yang negatif. Jika ini berlaku, Islam meminta agar konflik ini dapat diselesaikan dengan adil.

Perbezaan yang wujud dari segi kelainan latar belakang pendidikan dan perbezaan pengalaman dan sebagainya adalah bermatlamat untuk memperkayakan umat manusia dari segi pengetahuannya dan tindakannya. Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada manusia untuk mengamalkan konsep saling hormat-menghormati dan bekerjasama.

Hakikatnya, perbezaan yang wujud bukanlah satu alasan untuk membezakan taraf apatah lagi mewujudkan konflik di kalangan sesama manusia sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).“

Apa yang jelas dalam Islam, perbezaan antara manusia hanyalah dari segi takwa, ilmu dan amalan bercirikan nilai-nilai mutlak. Dr. Mohd. Shahar Sidek dalam artikelnya yang bertajuk Konflik organisasi: Pandangan dan penyelesaian mengikut alternatif Islam menjelaskan bahawa jika berlaku konflik dalam organisasi, syura adalah cara utama penyelesaian sebarang perbezaan mahupun konflik dalam Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan konsep syura ialah ia meliputi proses perbincangan dan perundingan, malah ia merupakan satu institusi dan budaya pengurusan cara Islam. Syura atau musyawarah ada disebut dalam Al-Quran:

Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
(Asy-Syuura:ayat 38)

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.
(Ali-Imran:159)


Beliau juga menjelaskan syura adalah satu proses perbincangan bertujuan mencari kebenaran dan pembentukan konsensus dalam perkara tertentu yang menyentuh kepentingan individu dan masyarakat di mana syariah tiada memberikan peruntukan yang jelas.

Dalam penyelesaian konflik, agama Islam tidak menafikan melaksanakan penyelesaian konflik secara mengenakan tindakan keras yang dilandaskan kepada kebenaran hakiki ke atas pihak yang dianggap bersalah. Islam mengizinkan, contohnya, peperangan seperti firman Allah

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
(Al-Baqarah:216)

Selain itu, islam juga membela pihak yang ditindas atau dizalimi seperti firman Allah:

Dan sungguh jika kamu beroleh karunia (kemenangan) dari Allah, tentulah dia mengatakan seolah-oleh belum pernah ada hubungan kasih sayang antara kamu dengan dia: "Wahai kiranya saya ada bersama-sama mereka, tentu saya mendapat kemenangan yang besar (pula)." (73) Kerana itu hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berperang di jalan Allah. Barangsiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka kelak akan Kami berikan kepadanya pahala yang besar. (74) Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!." (75)
( An-Nisa’:73-75)


Syura sebenarnya penyelesaian yang paling baik malah barat juga mengamalkannya dalam penyelesaian masalah organisasi. Tanpa syura maka sesebuah organisasi akan berlaku kepincangan.


Selain syura, dalam penyelesaian konflik, faktor kepimpinan adalah juga penting dalam penyelesaian konflik dalam Islam. Tanpa pemimpin yang mempunyai kewibawaan, amat sukar untuk menangani masalah perbezaan pendapat dalam organisasi. Ini akan membawa kepada wujudnya konflik. (Mohd Shahar)

Mengikut Mohd. Shahar, prinsip ini diambil daripada saranan al-Quran yang mengehendaki seseorang itu taat kepada ketua di kalangan orang Mukmin, atau uli al-amr, selagi perintah yang diberi tidak melanggar perintah dan nilai Islam.

Islam amat melarang tanggapan, fitnah, berita yang berunsur fitnah yang boleh memporak-perandakan umat Islam. Oleh itu, penentuan dan penapisan maklumat atau berita yang disebarkan oleh pihak-pihak yang dianggap tidak bertanggungjawab (seperti orang munafik) amat penting dilakukan dalam usaha mengelak konflik.

Konflik dalam Islam juga boleh diatasi melalui peranan orang tengah yang adil dan berwibawa. Selain itu, penyelesaian konflik boleh dibuat dalam bentuk ‘nasihat’, ‘irsyad’ dan ‘tawsiyah’.
Islam mempunyai metodologi penilaian tersendiri dalam menilai aspek-aspek yang berkonflik berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.

Kaedah syariah Islam yang telah diperincikan oleh ahli-ahli fikir dan sarjana hukum Islam pada dasarnya mengkehendaki penyelesaian konflik dilihat dari segi keutamaan kepentingan yang terlibat, khususnya dari segi kepentingan umum, penghapusan dan penangguhan mudarat.

Tiga aspek pengurusan organisasi telah diberikan oleh Mohd. Shahar dalam pengurusan konflik menurut cara Islam iaitu penekanan yang diberikan kepada matlamat dan struktur organisasi, proses kemanusiaan dan perhubungan dan pembangunan insan manusia.

Matlamat dan struktur organisasi, mengikut beliau ialah atas dasar perlanjutan konsep kerjasama atau mu’awanah dalam hal yang makruf di peringkat kehidupan bermasyarakat.
Penekanan kepada perhubungan dalam organisasi adalah berasaskan nilai dan pandangan Islam. Ia atas dasar persaudaraan Islam yang saling ingat-mengingati, nasihat-menasihati atas dasar iman, ilmu dan kebolehan serta amalan pengurusan yang terbuka.

Penekanan ketiga iaitu pembangunan insan dalam organisasi bermaksud penyelesaian jangka panjang yang berteraskan matlamat hidup dan sifat keinsanan sebagai khalifah Allah di bumi dan sebagai hamba Allah yang dijadikan dalam bentuk yang terbaik, seperti firman Allah :


sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
(Alam Nasyrah :6).
Inilah cara Islam yang unik dalam mengendalikan konflik manusia. Konflik dalam organisasi jika tidak diselesaikan akan membawa kesan buruk. Islam melihat konflik yang berlaku dalam organisasi sebagai satu krisis kerohanian insan.Kegagalan manusia yang menganggotai organisasi untuk menghayati nilai-nilai unggul sama ada di peringkat pimpinan atau pengurusan amat wajar ditangani melalui pendekatan Islam.

Golongan bawahan perlu memahami kepentingan syura.

Pekerja bawahan merupakan golongan yang amat penting kerana merekalah yang menjadi penggerak ke arah perkembangan sesebuah organisasi. Tanpa mereka maka pincanglah organisasi. Keadaan ini disokong oleh tindakan pihak kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada kerani-kerani dan pekerja bawahan dengan kadar 35% berbanding pekerja atasan sebanyak 7% sahaja. Selain baru-baru ini, PM memberikan kenaikan gaji terhadap kakitangan sokongan pekerja-pekerja Bank di seluruh Malaysia.

Pekerja sokongan dan bawahan perlu mengetahui dan memahami hak mereka dalam organisasi iaitu diberi peluang untuk menyatakan kepincangan dan kekurangan dalam organisasi supaya proses penambahbaikan dalam sesebuah organisasi berterusan. Namun sebenarnya walaupun diberi peluang untuk menyatakan hak pekerja bawahan dalam syura, namun pekerja bawahan tidak menyahut seruan ini. Akibatnya sesebuah organisasi akan memiliki pekerja yang mandom yang hanya ‘yes boss’ . Pekerja bawahan lebih suka menyatakan rasa tidak puas hati bersama-sama rakan sahaja dan menunjukkan kehebatan mereka selepas mesyuarat tanpa menyatakan ketidakpuasan hati mereka untuk diselesaikan bersama-sama dengan pimpinan.
Bagi penulis, golongan pekerja seperti ini mungkin mempunyai ilmu tetapi gagal untuk menghayati ilmu yang mereka miliki selain mempunyai perasaan takut kerana takut dibuang kerja atau terputus sumber rezeki padahal mereka lupa bahawa sumber rezeki bukan ditentukan oleh tempat kerja malah ditentukan oleh Allah.Bagi penulis, yang penting kita menentang kemungkaran dan menyokong sebarang usaha ke arah kebaikan. Namun yang pelik, jika ada orang yang ingin menegakkan keadilan, mereka dicemuh dan dipersalahkan. Sebenarnya golongan seperti inilah yang menghina sistem syura yang menjadi penyelesaian masalah dalam organisasi.

Akhir kalam, dalam proses pengurusan dan membuat keputusan dalam organisasi sebenarnya tidak harus mempunyai kepincangan jika semua pihak dapat melaksanakan peranan masing-masing. Umat islam akan berpecah jika masing-masing berprasangka buruk antara satu sama lain. Jadikanlah islam sebagai penyelesaian.

Nabi Muhammad s.aw pernah bersabda dalam hadis sahihnya:
Berkatalah benar walaupun ianya pahit
Penulis tujukan ayat Al-Quran ini kepada semua insan terutamanya pemimpin di muka bumi ini:
Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi.
(An-Nisaa':79)
Sekian sahaja daripada penulis yang merupakan insan yang masih memerlukan tunjuk ajar.

Kajian myminda terhadap wacana Dr. Mohd. Shahar Sidek dalam artikelnya yang bertajuk Konflik organisasi: Pandangan dan penyelesaian mengikut alternatif Islam

mymindakini08

0 comments:

Post a Comment