Wednesday, October 22, 2008

Kenaikan harga minyak dan gejala sosial

Kenaikan harga minyak petrol menjadi bualan hangat masa kini sehinggakan menjadi ‘senjata ampuh’ pihak pembangkang dalam pilihanraya umum 08. Pihak pembangkang menjadikan minyak sebagai modal untuk meraih simpati rakyat memilih mereka dalam pilihanraya.

Dalam ekonomi, minyak merupakan ‘barang berkait’. Barang berkait ini bermakna sebarang perubahan samaada dari segi harga dan jumlah pengeluaran akan mengaitkan atau memberi kesan sedikit sebanyak kepada barang-barang lain terutama barang-barang keperluan masyarakat. Maksudnya sebarang kenaikan atau penurunan harga minyak akan memberi kenaikan atau sebaliknya terhadap barangan lain malah ia akan mengubah cara hidup sesebuah masyarakat. Tidak hairanlah isu minyak ini dapat menggegar dunia.

Manakala gejala sosial merupakan pelbagai perbuatan yang menongkah tingkahlaku sosial masyarakat yang membawa kesan buruk terhadap masyarakat. Apabila dikatakan gejala sosial ini, maka ia merupakan perbuatan atau tingkahlaku atau mungkin amalan yang menyebabkan masyarakat memandang serong perbuatannya. Mengikut takrifan Malaysia , gejala sosial ini adalah seperti melepak, merompak, mencuri, terlibat dengan budaya kuning, bersekedudukan, bohsia dan lain-lain lagi. Sejak tahun 1995 lagi, gejala sosial terutama di kalangan remaja amat membimbangkan kerana ia mengalami peningkatan demi peningkatan. Kebejatan atau kejatuhan sosial masyarakat ini sebenarnya mencerminkan sikap atau rakyat di dalam sesebuah negara samaada negara tersebut diurus dengan baik atau sebaliknya.

Di Malaysia, sejak tahun 1990 hinggalah pada tahun 1998 1 liter minyak berharga RM1.10 ( 1 Liter = RM 1.10) tetapi sehingga 2008, harga minyak mengalami beberapa fasa peningkatan demi peningkatan harga iaitu 1 liter = RM1.92 sen. Peningkatan ini amat ketara sekitar tahun 2004 -2007 iaitu meningkat kira-kira 0.70sen. Keadaan ini lebih ketara dan menjadi persoalan masyarakat Malaysia sehingga kini kerana sebagai negara pengeluar minyak, tidak sepatutnya rakyat dibebani dengan kenaikan harga minyak dunia yang terlalu tinggi. Namun rakyat perlu mengetahuinya, setelah Dato’ Seri Pak Lah menjadi Perdana Menteri, Dato’ Seri Pak Lah ini telah mengurangkan subsidi minyak kepada rakyat dengan alasan untuk menggunakan wang subsidi tersebut untuk memperbaiki sistem pengangkutan rakyat. Penulis tidak mahu mengulas panjang mengenai isu subsidi ini kerana coretan ini bukanlah memperkatakan mengenai isu subsidi.

Berbalik kepada persoalan pokok mengenai kenaikan harga minyak dan gejala sosial. Dalam ekonomi pembangunan, kenaikan akan sesuatu barang berkait akan memberi kesan langsung terhadap cara hidup terutama keadaan sosial masyarakat di sesebuah negara. Secara teori ekonomi pembangunan dan ekonomi sosial, kenaikan harga minyak yang menjadi keperluan kepada bidang industri yang amat memerlukan minyak untuk pengangkutan dan operasi pengeluaran akan meningkatkan harga barangan keluaran untuk dijual kepada pembeli. Secara kalkulator mudah, jika dahulunya harga barang keperluan seperti isu terkini iaitu beras, dahulunya sebelum minyak naik, harga beras hanya RM 18 untuk 10kg namun setelah minyak naik harga beras menjadi RM 29 untuk 10kg. Jika diamati dan dihayati, kenaikan harga beras ini lewat dilaksanakan kerana faktor politik supaya kenaikannya tidak menjadi isu pilihanraya.

Kenaikan harga minyak ini sebenarnya akan menyebabkan kenaikan barang keperluan pengguna. Jika dahulunya dengan wang RM 30 dengan 10 kg beras dan beberapa bungkus gula dan tepung, tetapi kini dengan RM 30, pengguna hanya boleh membeli 10 kg beras. Jika sesebuah keluarga besar, yang memerlukan penggunaan beras kira-kira 20kg sebulan, ia akan dibebani dengan penggunaan wang yang lebih banyak. Keadaan ini akan membebankan pengguna khususnya rakyat. Kenaikan harga minyak juga memberikan kesan yang besar kepada barang keperluan yang lain terutama barang kawalan dari pihak kerajaan akan sebarang perubahan harganya mengundang perubahan mendadak. Bayangkan harga tepung beras sekotak dari RM 17 naik hampir sekali ganda menjadi RM 31. Kita perlu mengetahuinya bahawa harga barang yang terkandung dalam golongan barang kawalan ini adalah di bawah kawalan kerajaan. Sebarang kenaikan terhadap barang kawalan sebenarnya diluluskan dan dibuat oleh kerajaan.

Marilah kita fikirkan secara logik, setelah kenaikan barang keperluan hasil kenaikan harga minyak tadi menyebabkan kenaikan harga barang keperluan seperti makanan terutamanya. Keadaan ini akan menyebabkan kuasa beli atau kemampuan membeli barangan keperluan menurun yang menyebabkan isi rumah terpaksa meningkatkan perbelanjaan bulanan. Pendapatan isi rumah atau pendapatan sesebuah keluarga kebanyakannya diperolehi hanya melalui suami yang bekerja manakala isteri menjadi suri rumah selain kedua-duanya suami dan isteri bekerja. Peningkatan jumlah perbelanjaan yang semakin meningkat ini menyebabkan isi rumah samada suami dan isteri terpaksa meningkatkan pendapatan mereka. Bagi suami isteri yang bekerja, mereka terpaksa bekerja dengan lebih keras mungkin 2 kali ganda bagi meningkatkan jumlah pendapatan bulanan mereka. Manakala bagi suami sahaja yang bekerja, memaksa isteri yang dahulunya suri rumah yang menguruskan aktiviti rumah tangga seperti mengasuh anak dan memberi perhatian kepada anak untuk menambah pendapatan keluarga dengan bekerja.

Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang dapat dijaga oleh ibu yang boleh memberi sepenuh perhatian kepada anak terpaksa bekerja dan mengurangkan perhatian penjagaan dan kawalan anak. Anak-anak akan terbiar dan kurang pengawasan. Anak-anak yang kurang kawalan dan pengawasan dek disebabkan oleh kesibukan ibu bapa meningkatkan pendapatan keluarga menyebabkan mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Pada mulanya anak-anak ini akan keluar rumah sehingga lewat malam dan akhirnya berkawan dengan kawan-kawan yang sepatutnya. Sehinggakan ada kes remaja yang melakukan hubungan seks di rumah semasa ibu bapa tiada di rumah kerana keluar bekerja. Selain keadaan ini mengundang peningkatan gejala sosial seperti lepak, rogol, buang bayi, menghidu gam dan lain-lain meningkat. Jadi jelaslah peningkatan harga minyak dapat meningkatkan gejala sosial di negara kita yang sebenatnya mengundang pelbagai kesan negatif yang lain.
Apa yang dicoretkan hanyalah pendapat peribadi berdasarkan teori ekonomi pembangunan dan ekonomi sosial. Namun keadaan yang timbul terhadap peningkatan harga minyak adalah bersifat subjektif kerana peningkatan harga minyak mungkin tidak ada kesan terhadap gejala sosial jika pihak berkuasa atau berwajib ’over take’ akan masalah ini. Setiap orang boleh membuat andaian namun kita tidak mengetahui samaada ia realiti atau pun tidak tapi kita berhak membuat andaian. Jika mereka yang mengetahui dan menguasai cara mendidik anak walaupun kedua-dua bekerja tidaklah menjadi masalah tapi mereka yang tidak mengetahuinya? Keadaan ini akan menjadi serius apabila dibiarkan.

Akhir sekali, kita sebagai umat islam perlu berhati-hati dan berwaspada akan isu ini supaya kita dapat menongkah cabaran semasa yang mengundang pelbagai tembakan peluru ghaib oleh pihak yang memusuhi islam.
abunabil08

0 comments:

Post a Comment