Wednesday, October 22, 2008

PEMBANGUNAN: Dari Perspektif Islam.

Dalam keadaan kurang sihat, penulis kadang-kadang tersentak dengan halwa telinga media dengan mencanang bahawa hanya pihak tertentu sahaja yang sebenarnya yang boleh membawa pembangunan. Pembangunan yang kita lihat di bumi Malaysia ini berupa bangunan-bangunan, masjid, LRT, Komuter dan perubahan hidup rakyat berbanding dari dahulu hingga sekarang. Pembangunan yang dibanggakan dan dicanangkan sehingga raja rimba pun mengetahuinya. Setiap detik digembar-gemburkan bahawa bumi Malaysia ini hanya boleh dibangunkan oleh pihak tertentu sahaja. Maka rakyat yang kurang memahami apa ertinya pembangunan ini kadang-kadang terhibur dan tertarik dengan hidangan fatamorgana pihak tertentu ini. Penulis kadang-kadang tergelak dan malu, bahawa pihak-pihak tertentu yang mempunyai gelaran professor kayu, doktor kangkung dan ustaz-ustaz yang hanya pandai menyepak peti undi ini buta tentang erti sebenar pembangunan. Rakyat bumi Malaysia ini sebenarnya tidak mengetahui dan keliru tentang erti sebenar pembangunan. Pembangunan yang dicanang hanya di sudut barat sahaja.

Persoalannya sekarang, apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan? Terutamanya dari perspektif islam. Penulis pernah membuat kajian mengenai konsep pembangunan dari perspektif barat dan islam semasa pengajian dahulu. Sebenarnya, Pembangunan dari segi bahasa bermaksud usaha atau kegiatan membangunkan, memajukan atau mengembangkan. Pembangunan juga sering diertikan dengan perubahan, pemodenan dan mobilisasi. Dalam bahasa Inggeris pembangunan disebut development iaitu perihal mengembangkan, perkembangan, kemajuan dan pembangunan (Kamus Dwibahasa, 1999). Manakala dalam bahasa Arab disebut dengan istilah al-taqaddum yang bermaksud kemajuan atau tatawwur yang bererti berkembang (Munawwir,1997).

Bagi penulis, dari segi istilah, pembangunan boleh didefinisikan sebagai usaha membangunkan potensi yang ada pada diri manusia dan persekitaran bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan mencapai hasanah di akhirat. Walau bagaimanapun sehingga kini konsep pembangunan masih kurang jelas dan samar, menyebabkan ia sering dibataskan pengertiannya kepada sesuatu yang berunsur material dan keduniaan (seperti politik, sosial, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain) semata-mata.

Penulis suka untuk membawa pengertian pembangunan oleh Ziauddin Sardar yang mengatakan bahawa pembangunan dalam konteks Islam bermaksud keupayaan untuk mewujudkan ciri-ciri keislaman dalam diri individu, keluarga, masyarakat, ummah, dan juga negara. Beliau mengatakan semakin dekat sesebuah negara itu dengan Islam, semakin majulah negara tersebut dan begitulah sebaliknya. Beliau turut mengatakan pembangunan mengikut perspektif Islam bermaksud pengucapan dinamisme budaya yang dinyatakan oleh keinginan umat untuk berada dalam keadaan Islam.

Kadang-kadang umat islam sendiri keliru dan kurang jelas atau tidak mahu belajar untuk diperjelaskan tentang bentuk dan pendekatan pembangunan dalam Islam. Sebenarnya, salah satu juzuk pembangunan adalah konsep tawazun (keseimbangan). Tawazun atau keseimbangan ini merupakan pengimbangan yang perlu ada dalam diri individu dimana individu yang dapat menghayati pembangunan yang berkonsep tawazun ini adalah pembangunan yang mengimbangi antara dunia dan akhirat. Sesebuah negara yang bangga dengan pembangunan merupakan pembangunan yang mengadunkan antara pembangunan material dan pembangunan spritual. Jadi Pencapaian pembangunan yang al-falah hanya diperolehi apabila kedua-dua unsur tersebut dipenuhi.

Sepatutnya semua umat islam perlu memahami tentang aspek Pembangunan Islam yang perlu digarap dalam diri manusia. Pembangunan yang dimaksudkan merupakan pembangunan jasad (fizikal) dan pembangunan roh (spritual: jiwa, akal,intelek, budi, emosi dan lain-lain). Pembangunan jasad dan roh inilah yang pertama sekali perlu dibangunkan. Setelah kedua-dua kombinasi ini dibangunkan dengan telus dan efisien, maka secara langsung pembangunan di luar diri manusia iaitu kebendaan (meterial) seperti ekonomi, politik, sosial, Ilmu pengetahuan dan falsafah, peradaban dan sains dan teknologi akan dapat dibangunkan dengan baik.
Sebagai umat Islam kita perlu melihat pembangunan dari perspektif taqwa atau pendekatan yang lebih islamik dimana menganggap pembangunan sebagai satu ibadat iaitu sebagai perlaksanaan tugas kekhalifahan manusia di bumi. Kita perlu mengambil perhatian khusus terhadap peranan al-nafs dan al-syaitan dalam melaksanakan aktiviti pembangunan. Dalam proses pembangunan kita perlu berhati-hati akan tindakan nafsu dan amalan syaitan dalam melaksanakan sesuatu proses pembangunan.

Sebenarnya kita perlu meningkatkan ilmu dan bukan sahaja menerima secara borong sesuatu maklumat atau andaian. Pembangunan yang berkesan adalah setelah kita boleh lihat rakyat di seluruh negara mempunyai sifat atau akhlak yang baik. Sesebuah negara yang mempunyai pembangunan yang cemerlang, harus dan seharusnya mempunyai rakyat yang tidak korup, kronism, jenayah yang rendah dan lain-lain. Pembangunan yang cemerlang apabila kita dapat melihat generasi muda mempunyai jatidiri dan budaya diri yang terpuji serta dapat dibanggai. Namun apa yang kita lihat sekarang, generasi muda negara menuju ka arah kebinasaan. Syed Qutb pernah mengatakan, jika ingin melihat masa depan negara, lihatlah generasi mudanya. Jika baik generasi mudanya maka, baiklah masa depan negara tersebut. Namun jika sebaliknya, pasti! Generasi muda itulah yang kita lihat hari ini.
myminda08

0 comments:

Post a Comment