POLITIK NEGARA YANG GILA!
Sudah lama benar penulis tidak menulis tentang sepak terajang politik Malaysia yang tidak habis-habis sejak tragedy ngeri BN 8 Mac 2008. Penulis bukanlah ingin berpihak kepada mana-mana pihak namun melalui pemerhatian dan penilaian penulis terhadap keadaan politik negara hari ini bolehlah dianggap gila!. Penulis bukanlah ingin mencampuri hal politik Malaysia namun hanya memberikan pendapat. Politik Malaysia kini agak menyasau dan meroyan dari hari ke hari dan mungkin satu hari nanti akan wujud politikus yang GILA!. Pendapat penulis mengenai keadaan Malaysia kini:
a) Parti pemerintah yang gagal menguasai 2/3 majoriti parlimen kelihatan agak terumbang-ambing. Parti BN yang dianggap begitu setiakawan dan mempunyai semangat kesatuan yang utuh sebenarnya hanya retorika. Setelah 8 Mac, mereka diuji dengan ujian yang agak kecil namun semua parti komponen BN saling tuding menuding menyebabkan terungkai ‘semangat ‘ setiakawan mereka yang sebenar. Pelbagai isu menjadi masalah dalam 3 parti utama ini selain SAPP yang begitu lantang memulakan sepakan mereka. Kini bukan isu kekalahan yang menjadi masalah utama, kini BN berhadapan percakaran dalam isu perkauman.
b) Pengurusan ekonomi yang kononya agak tidak populis oleh BN dalam keadaan pengaruh mereka agak terhakis menyebabkan rakyat tidak selesa dan mengundang kehilangan undi yang semakin besar, lihat sahaja keputusan Parlimen Permatang Pauh di mana BN susut jumlah undi hampir 1000 undi baru hampir 6 bulan mengalami kekalahan PRU 12. Perkataan populis dicanang untuk menunjukkan kerajaan begitu ‘bertanggungjawab’ bagi menguruskan ekonomi supaya dinikmati oleh rakyat di masa hadapan. Setelah beberapa bulan PRU 12, BN telah menaikkan harga minyak tertinggi dalam sejarah dengan alasan mengurangkan beban kerajaan terhadap tanggungan subsidi minyak. Dalam keadaan nasib BN bagai telur di hujung tanduk, BN mengambil keputusan yang menyebabkan rakyat menilai bahawa BN sedang mengaut sebanyak mana harta yang sempat sebelum turun takhta.
c) Keadaan politik dalaman BN yang begitu mengemparkan dalam keadaan saling tuding menuding, selain setiap ahli ingin menjadi hero untuk mengantikan pimpinan lama dalam pemilihan UMNO akhir tahun ini yang kononnya ingin membuat pembaharuan dalam UMNO, MCA dan MIC sama sahaja. Namun mereka menjadikan kelemahan dalam BN untuk mengaut populariti dan jawatan. Kini sudah hampir 6 orang calon menawarkan diri menjadi Ketua Pemuda UMNO.
d) Dalam MT UMNO sendiri sudah berlaku ketidakselarasan dan ketidakfahaman antara satu sama lain terutama mengenai peralihan kuasa yang dianggap terlalu lama. Tempoh Jun 2010 dianggap terlalu lama dalam keadaan ahli UMNO dan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara. Terbaru Naib Presiden UMNO, iaitu orang kanan dalam UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar keputusan peralihan kuasa Pak Lah-Najib dikaji semula kerana tempoh tersbut terlalu lama. Namun kenyataan beliau dipandang sinis oleh ahli UMNO malah diselar. Ditambah kini lebih 70%, akar umbi mencadangkan agar peralihan kuasa difikirkan semula. Penulis pun semakin pening dengan situasi dalam UMNO, pada hari yang sama, Najib (Timb. Pres. UMNO) mengatakan bahawa keputusan Peralihan kuasa adalah tertakluk kepada keputusan akar umbi UMNO, namun pada masa yang sama Hisammudin (Ketua Pemuda UMNO) pula mengatakan keputusan akar umbi bukanlah penentukerana ia akan ditapis dan dibincangkan semula dalam MT UMNO. Keadaan ini jelas membuktikan berlaku ketegangan politik tahap tertinggi dalam UMNO, jika keadaan seperti ini berlaku, UMNO akan berkubur. Dalam keadaan berlaku pergeseran dalam BN, berlaku juga pertelingkahan dalam UMNO.
e) Bekas PM, Tun Dr. Mahathir kembali menyertai UMNO setelah belum sampai setengah tahun keluar daripada UMNO. Kemasukan Tun memang menjadikan UMNO semakin sarat dengan masalah, kemasukan Tun ke dalam UMNO akan memecahbelahkan lagi UMNO. Tun masih mempunyai pengaruh yang agak besar dalam UMNO, kemasukannya adalah bersama idea dan tohmahan serta kritikan terhadap pimpinan. Kritikan ini semestinya akan membawa 1001 andaian terutama penerimaan ahli UMNO terhadap kepimpinan Pak Lah dengan kritikan Tun Mahathir. UMNO akan semakin berpecah.
f) Sebenarnya bagi penulis, keluarnya Anwar dari tirai besi akan memberikan satu iklim baru dalam Malaysia. Kewujudan Parti Keadilan Rakyat baru 10 tahun yang mendapat tonik selepas pembebasan Dato’ Seri Anwar menyebabkan BN menjadi kucar kacir. Anwar mempunyai personality pemimpin yang diingini oleh semua kaum ditambah simpati terhadapnya masih ada lagi semasa terjadinya pemecatannya pada 1998. Anwar bijak berpolitik, bagi penulis anwar ini merupakan ‘bapa matlamat menghalalkan cara’. Sejak penyertaan beliau dalam UMNO pada 1982 lagi dengan matlamat untuk membaiki UMNO dari dalam sehingga meletakkan kakinya selangkah menjadi PM, akhirnya disepak dari UMNO dalam keadaan telanjang penuh keaiban. Kini Anwar sekali lagi muncul dengan irama dan lirik yang berlainan serta dalam iklim yang berbeza. Anwar muncul sebagai Ketua Pembangkang, dengan matlamat menjatuhkan bekas Partinya dahulu. Kini anwar dengan matlamat menjadi PM selain membaiki ekonomi negara yang gagal diurus dengan baik tetapi mencemar amanah rakyat kepada BN untuk memerintah negara. Mandat yang diberikan majority rakyat walaupun sedikit kepada ahli parlimen mereka dengan tiket BN mudah sahaja dipancing oleh Anwar. Bagi penulis, ia mencemar proses demokrasi di Malaysia. Tunggulah sahaja pada PRU 13 nanti.
g) Pengurusan ekonomi Malaysia melalui Pak Lah memang serius. Inflasi negara mengalami kenaikan mendadak iaitu sehingga 8% iaitu sejarah dalam tahap pencapaian inflasi negara. Apabila inflasi meningkat, secara langsung akan menyebabkan nilai matawang negara semakin murah berbanding US Dolar. Keadaan ini akan menyebabkan ekonomi negara semakin meruncing.
h) Tiga nama besar dalam UMNO iaitu Najib-Muhyiddin-Tengku Razaleigh sedang bertarung melalui strategi politik yang berbeza bagi merangkul kejuaraan Presiden UMNO. Pada masa yang sama, anwar kelihatan seperti hampir ‘over take’ dalam perebutan mereka.
Penulis amat mengharapkan segala teka-teki ini akan berakhir dengan apa cara sekalipun samaada niat anwar berjaya atau Pak Lah meneruskan kuasanya. Namun yang penting kini, rakyat mengalami keadaan hidup yang tidak selesa ditambah bebanan hidup yang semakin meruncing.
mymindakini08
0 comments:
Post a Comment