UPSR 2008: Aduhai PPSMI
Penulis tertarik untuk menulis mengenai isu yang begitu besar menyelubungi suasana pendidikan negara yang menarik minat pelbagai pihak iaitu isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (aduhai PPSMI). Penulis tertarik kerana isu ini juga berlaku ke atas diri penulis yang juga seorang guru yang berhadapan dan mengadap isu ini. Penulis sebenarnya begitu mengambil berat akan isu ini kerana sebarang agenda bertindak oleh pihak kerajaan mengenai perjalanan pendidikan negara adalah mencerminkan suasana generasi akan datang. Jadi penulis amat cakna dengan isu ini. Jika kita gagal merancang, kita sebenarnya merancang kegagalan.
Keputusan UPSR 2008 telah diumumkan pertengahan bulan November lalu yang sebenarnya membuatkan rakyat Malaysia terutama guru Matematik dan Sains yang ‘terpaksa dan dipaksa’ mengajar dalam Bahasa Inggeris tertunggu-tunggu sesuatu. Sesuatu bagi penulis adalah keputusan kerajaan samada meneruskan aduhai PPSMI atau sebaliknya berpandukan keputusan UPSR 2008. Nah, keputusan UPSR 2008 telah diumumkan! Tepat tekaan penulis, bahawa keputusan UPSR 2008 akan dipuji dan disanjung kerana peningkatan malahan kerajaan begitu yakin dengan ‘langkah sumbangnya’ mengayakan bunga yang ibarat bunga tahi ayam. Jumlah murid yang berjaya memperolehi A dalam semua matapelajaran juga meningkat berbanding tidak dilaksanakan aduhai PPSMI. Penulis ingin membuat beberapa ulasan mengenai isu ini:
1. Soalan UPSR Sains dan Matematik 2008 sebenarnya disediakan dalam dua versi iaitu dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Kita sebenarnya boleh meyakini keberkesanan aduhai penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik dengan menggunakan soalan satu versi sahaja iaitu versi bahasa inggeris. Sesuai dengan misinya iaitu untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Jika kerajaan ingin meyakinkan seluruh rakyat Malaysia bahawa aduhai PPSMI ini berjaya.
2. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seharusnya mendedahkan markah gred penilaian (A-E) di peringkat KPM sendiri. Maksudnya rakyat perlu mengetahui markah yang diberikan oleh pihak KPM kepada murid bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Walaupun ia dikatakan rahsia tetapi dalam isu ini bukan sahaja penulis malah seluruh negara ingin mengetahui semaksimum mana di kelaskan A dan seminimum mana diberikan gred D dan E. Ini kerana biar seluruh rakyat tahu dan kerajaan telus mengenai isu kerana rakyat tahu sejauhmana keberjayaan aduhai PPSMI ini. Setakat markah A hanya 40 % dan E hanya 15 % adakah perlaksanaan aduhai PPSMI ini berjaya? Semua orang boleh membuat andaian namun kerajaan perlu telus akan isu ini.
3. Penulis juga amat tertarik dengan kehebatan UPSR 2008 kerana penulis begitu ternanti-nanti akan keputusannya kerana ingin melihat kehebatan aduhai PPSMI. Semua berita yang diberikan hanya sebagai halwa telinga sahaja iaitu jumlah yang mendapat A dalam semua matapelajaran meningkat tetapi tidak difokuskan berapa ramai murid yang gagal? Penulis ternanti-nanti akan rancangan, dokumentari atau ulasan akhbar yang memfokuskan mengenai berapa ramai yang gagal PPSMI 2008. Hanya yang dicanang hanya menyatakan jumlah murid yang menjawab dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak ditulis berapa ramai yang mendapat markah betul yang menjawab dalam Bahasa inggeris dan peratusannya berbanding yang menjawab dalam Bahasa Malaysia. Semua ini perlu didedahkan supaya rakyat dapat menyakini dan menutup mulut rakyat yang tidak berpuas hati dengan isu ini.
4. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan agensi yang meningkatkan kedaulatan Bahasa Malaysia ini supaya cakna dengan isu aduhai PPSMI. Ini kerana DBP perlu bersedia dengan keadaan bahawa dengan perlaksanaan aduhai PPSMI ini akan menyebabkan usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Ilmu akan tergugat. Di sekolah penulis, pada tahun 2007, seorang guru di sekolah penulis telah memberikan dua versi soalan matematik iaitu versi bahasa Malaysia dan bahasa inggeris kepada dua orang murid (adik beradik). Murid pertama yang tidak belajar dalam agenda aduhai PPSMI diberikan soalan versi Bahasa Inggeris dan murid kedua yang belajar dalam agenda aduhai PPSMI diberikan soalan versi bahasa Malaysia. Ternyata kedua-dua murid berbangsa melayu dan beragama islam tersebut gagal menjawab soalan-soalan yang diberikan. Murid pertama gagal menjawab soalan yang disoal dalam Bahasa Inggeris dan murid kedua gagal menjawab soalan yang disoal dalam Bahasa Malaysia.
Penulis tidak kisah walau bagaimana kesan aduhai PPSMI ini terhadap murid walau akan lahir anak Malaysia yang biru matanya, namun yang penting setiap langkah kerajaan dapat dirancang dan diteliti supaya tidak sumbang kerana apabila langkah kita sumbang, yang menggelakkan kita nanti adalah musuh-musuh kita nanti.
mymindakini dot com
0 comments:
Post a Comment