Sunday, March 28, 2010

JomHeboh di Kelantan.

Penulis sempat menonton Konsert JomHeboh di Televisyen yang diadakan di negeri Kelantan. Program yang diadakan di Kelantan ini bukan sahaja sejarah di Kelantan malah di Malaysia. Inilah merupakan sebuah negeri yang dikuasai dan ditadbir oleh pemerintah islamik membenarkan program yang pernah dikatakan haram oleh Mufti Negeri Perak D.Ridzuan iaitu Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Seri Harussani Zakaria.

Penulis membuat sedikit komentar mengenai program ini yang diadakan di Kelantan:

1. Kelantan berjaya menonjolkan adab Islam dalam konsert yang kelihatan penontonnya tidak agresif dan diadakan dengan mengikut syariah Islam. Wanita dan lelaki diasingkan serta semua artis yang membuat persembahan adalah lelaki. Namun lebih menarik jika terdapat artis wanita yang membuat persembahan tetapi diasingkan di tempat lain. Hanya kaum wanita sahaja yang dibenarkan menonton.

2. Bagi penulis, untuk tahun berikutnya Kelantan sebenarnya boleh meng SUARASA kan JomHeboh. SUARASA merupakan program ala JomHeboh tetapi agak islamik. JomHeboh boleh dianjurkan dengan pelbagai format seperti ceramah agama, forum perdana atau lain-lain program yang diselitkan walau sedikit unsur-unsur tarbiah dalam JomHeboh.

3. Kelantan boleh mempromosikan ajaran Islam sebenar kepada rakyat Malaysia umumnya melalui JomHeboh dan secara khususnya kepada artis-artis dan penganjur JomHeboh. Mereka boleh melihat bahawa jika beberapa perkara yang dijaga dalam islam dalam penganjuran sesebuah konsert, maka akan wujud suasana aman dan tenang dalam sesebuah konsert.

4. Pengharaman JomHeboh oleh Mufti Perak merupakan satu tamparan kepada Islam itu sendiri kerana kelihatan Islam ini satu penghalang naluri manusia untuk meminati muzik malah menghadiri konsert oleh generasi muda. Namun Kelantan membawa jalan solusi bahawa JomHeboh itu tidak haram jika diadakan dengan format tertentu. JomHeboh ini yang kelihatan haram boleh dihalalkan jika diadakan seperti itu dan seperti ini.

5. Akhir kalam, Islam ini merupakan sebuah agama yang tegas dalam prinsip dan longgar dalam perlaksanaan. Seharusnya Negeri Islam seperti Kelantan meningkatkan lagi penganjuran program kegilaan remaja dan muda mudi. Tidak keterlaluan jika dengan keterbukaan Kelantan ini, JomHeboh ini titik tolak penganjuran Anugerah Juara Lagu, Anugerah Berita Harian dan Anugerah Bintang Popular yang berversi islamik.

0 comments:

Post a Comment